KUALA LUMPUR: Penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang berkualiti di Sabah hendaklah dipercepatkan berikutan perpindahan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara Ke Kalimantan Timur, kata Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Suan ketika mengambil bahagian sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara petang kelmarin.
Beliau mengharapkan infrastruktur dan fasiliti awam di Sabah juga adalah “on par” atau standing dengan negara jiran kita ini.
Sehubungan itu,beliau mencadangkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya Malaysia duduk semeja dan menyelesaikan dengan kadar segera masalah kesesakan lalu lintas akibat daripada kekurangan kawasan parkir atau kawasan letak kereta di hospital-hospital kerajaan khususnya di Hospital Queen Elizabeth 1 dan Hospital Queen Elizabeth 2 di Kota Kinabalu yang sudah berlarutan bertahun-tahun.
Ini adalah kerana kapasiti dan kapabiliti kawasan letak kereta sekarang ini tidak dapat menampung jumlah pesakit dan orang awam yang berkunjung iaitu dalam lingkungan 1,000 sehingga 21,000 orang sehari.
Bobbey juga amat menyokong saranan Titah Diraja yang amat prihatin dengan keluh kesah dan kesusahan rakyat khususnya kumpulan B40 dalam aspek pemilikan rumah.
Beliau menyokong penuh penekanan kepada akses perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki dengan memberi keutamaan kepada pelbagai inisiatif yang lebih mesra pendapatan seperti Rumah Mampu Milik (RMM), Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) bukan sahaja bagi kumpulan B40 tetapi juga M40 khususnya golongan miskin bandar.
Katanya, Strategi perumahan yang inklusif, praktikal dan mampan hendaklah dirangka melalui sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan secara konsisten.
Di samping itu, penyediaan tempat tinggal yang selesa dan kondusif juga perlu diperluaskan melalui penyediaan bantuan bina baharu serta pembaikan rumah yang uzur terutamanya kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan agar rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih sejahtera dan mampan.
“ Persoalan saya kepada pihak kementerian terbabit, berapakah kuota dan status terkini pemilikan 500 ribu unit rumah mampu milik seperti mana yang termaktub dalam RMKe-12 bagi kumpulan B40 dan M40 di Sabah?,” katanya.
Bobbey juga menyokong penuh saranan Titah Diraja agar kerajaan meneruskan usaha memerangi kemiskinan tegar melalui program pembasmian kemiskinan tegar bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada tahun 2025.
Ini amatlah bertepatan dengan indikator matlamat pembangunan mampan ataupun “Sustainable Development Goals” (SDG) yang pertama iaitu kemiskinan sifar bagi memastikan tahap kemiskinan tegar berada pada tahap sifar.
Kerajaan perlu menggariskan matlamat dan strategi khusus bagi membebaskan Sabah daripada menjadi wilayah paling perlahan pertumbuhan ekonominya serta memiliki paras kemiskinan tertinggi di Malaysia.
Kerajaan pusat harus menggariskan pendekatan mikro secara bersinkronisasi dengan kerajaan negeri melalui agenda pemerkasaan ekonomi, pendigitalan dan penerimagunaan teknologi serta keusahawanan supaya usaha membasmi kemiskinan tegar dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dapat direalisasikan segera demi manfaat wilayah Sabah.
Kini, saya hanya mengharapkan, menunggu dan melihat apa pendekatan dan cara pihak kerajaan sekarang untuk mengeluarkan 8 buah daerah (Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Pitas, Telipud, Beluran, Tongod dan Nabawan) yang termundur dan miskin di Sabah dalam masa dua tahun ini, sehingga tahun 2025.
Dalam sesi perbahasan itu juga, Bobbey mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan ke atas Titah Diraja yang khusus memfokuskan kepada tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), katanya.
Beliau juga mengucapkan setinggi terima kasih kepada Perdana Menteri ke-10 atas pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah dengan mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik.
Pada masa yang sama, saya turut menyokong sepenuhnya Titah Diraja yang menegaskan agar kerajaan menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak demi untuk menggiatkan aktiviti pembangunan dan pemerkasaan ekonomi di Sabah dan Sarawak.
Mengenai isu pendatang tanpa izin, beliau mahukan agar Pejabat Konsulat Jeneral Filipina dapat ditubuhkan di Sabah untuk menoktahkan masalah pendatang asing tanpa izin yang menimbulkan pelbagai masalah sosial seperti peminta sedekah oleh anak-anak pendatang asing tanpa izin yang menganggu laluan lalu lintas di kawasan bandaraya, masalah air yang disebabkan penyambungan paip secara haram sehinggalah pembinaan tanah perkuburan haram di kawasan merbahaya pencawang elektrik.
Selain itu, kerajaan meneruskan pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di mana pihak industri menerajui pengoperasian institusi TVET awam bagi memastikan graduan institusi tersebut dilatih berdasarkan keperluan semasa industri setempat.
“Namun jangan dialpakan dan dipinggirkan golongan kurang dan kelainan upaya (OKU),” katanya sambil melahirkan rasa terkilan bila mana Sabah yang berpopulasi seramai 3.4 juta orang, tetapi hanya satu Kolej Vokasional (KV) diwujudkan di Bahagian Pedalaman yang menawarkan TEVT Pendidikan Khas.
Beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan supaya menaiktaraf KV sedia ada sama ada di Bahagian Pantai Barat, Bahagian Kudat, Bahagian Sandakan dan Bahagian Tawau termasuklah Wilayah Persekutuan Labuan dengan menambah program TVET Pendidikan Khas untuk anak-anak OKU ini.