Perkara Berkaitan Darurat Kembali Dibentangkan Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Perkara berkaitan pembatalan Ordinan Darurat dibangkitkan pada permulaan sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang menuntut penjelasan segera dan penerangan kerajaan berhubung perkara itu.

Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 150 (3), Gobind Singh Deo (PH-Puchong) mempersoalkan sama ada pembatalan Ordinan Darurat berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan adakah ia mengikut prosedur seperti tertera dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini sangat penting kerana apa kita ada pada hari ini dan dua tiga hari akan datang adalah penerangan berkaitan ordinan-ordinan yang telah pun digubal melalui proklamasi tersebut, yang kononnya telah pun ditarik balik, dibatalkan tetapi kita tidak ada senarai ordinan-ordinan mana yang dibatalkan.

“Sekiranya telah pun dibatalkan kenapa kita tidak dimaklumkan, kenapa tidak ada diletakkan di meja setiap Ahli Parlimen supaya kita dapat tahu secara spesifik bila ia dibatalkan, siapa membuat keputusan dan kesannya ordinan-ordinan itu khususnya terhadap rakyat umum di luar sana,” katanya.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Kabinet memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa selain tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pelanjutan darurat, yang dijadual tamat pada 1 Ogos ini.

AZALINA OTHMAN.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempengerusikan majlis mesyuarat itu kemudian memaklumkan yang Takiyuddin akan memberi penjelasan dan jawapan berhubung isu dibangkitkan pada Isnin.

“Saya pun sebagai Ahli Parlimen dalam situasi agak sama. Saya percaya ramai peguam di luar sana bertanya tentang perkara sama dan memandangkan kita dalam sistem demokrasi berparlimen, saya dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa Menteri Undang-Undang akan beri jawapan pada Isnin ini.

“Speaker sudah buat ‘ruling’ (untuk dijawab pada Isnin), kalau Yang Berhormat tidak puas hati boleh pergi berjumpa Speaker dan bincang dengan Speaker,” katanya.

Selain Gobind, isu pembatalan darurat turut dikemukakan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mempersoalkan kesan kepada kes-kes yang didakwa di mahkamah sekiranya ordinan berkenaan telah dibatalkan, manakala M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) meminta jawapan dikemukakan serta-merta kerana ia menimbulkan kekeliruan.

MOHAMED HANIPA MAIDIN (PH-SEPANG)

RSN Rayer (PH-Jelutong) pula berkata beliau difahamkan bahawa penasihat undang-undang serta ketua unit pendakwaan di negeri-negeri belum dimaklumkan tentang pembatalan Ordinan Darurat berkenaan dan mereka masih meneruskan pertuduhan kes-kes berkaitan.

Bagaimanapun di sebalik asakan bertalu-talu pembangkang, Takiyuddin semasa menjawab perkara itu berkata segala penerangan berkaitan pelaksanaan darurat hanya akan dilaksanakan pada Isnin ini, seperti yang diputuskan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun semalam.

“Saya minta to be fair to kerajaan saya diberi peluang untuk memberi penjelasan semua berkenaan pelaksanaan darurat pada Isnin ini,” katanya sebelum Ahli Parlimen pembangkang berterusan meminta jawapan segera sama ada pembatalan itu mendapat perkenan  Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun Takiyuddin sekali lagi menegaskan bahawa beliau tertakluk kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membuat penjelasan pada Isnin dan memberi jaminan bahawa beliau tidak akan ‘lari’ daripada memberikan jawapan.-Bernama.

scroll to top