PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.
Kata Muhyiddin, ia membabitkan tujuh perkara termasuk pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang UndangUndang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
“Kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.
Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatan kuasa ini.
“Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini. Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan,” katanya.
Muhyiddin menambah, satu rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen.
“Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Akhirnya yang ketujuh, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan,” katanya.