KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti seorang wanita yang ditemukan mati dalam kebakaran sebuah kereta di hadapan pasar mini di Bandar Baru Selayang, Gombak semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata mangsa disahkan sebagai Ismad Gani Mohd Ansari, 43, ditemukan di tempat duduk pemandu selepas pihak bomba menjalankan operasi memadam api ke atas kenderaan itu pada 4.32 pagi.
Beliau berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa didapati melecur 15 peratus dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat.
“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut manakala kereta mangsa didapati terbakar 40 peratus di bahagian dalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Sarjan Rafidah Abd Aziz di talian 0193509963 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 0361262222 .-Bernama.