ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis heroin serta syabu bernilai lebih RM62,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kuala Reman dekat Sik, Ahad lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah ACP Mohd Taufik Maidin berkata penahanan lelaki berusia 33 tahun pada 6 petang itu menemukan dua plastik lut sinar berisi ketulan putih disyaki dadah jenis heroin seberat 903.10 gram yang diletakkan di dalam sebungkus plastik hitam di kawasan semak berhampiran rumah tersebut.
“Lelaki itu turut menunjukkan beberapa lokasi bekalan dadah disembunyikan di sekitar kawasan rumah itu. Hasilnya, polis menemukan bungkusan plastik hitam mengandungi tujuh paket plastik lut sinar disyaki syabu seberat 179.61 gram dan enam bungkusan disyaki berisi heroin seberat 2.48 kilogram (kg),” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Beliau berkata keseluruhan heroin yang dirampas dianggarkan seberat 3.38 kg manakala syabu seberat 179.61 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM62,000.
“Polis turut menyita dua motosikal dan wang tunai berjumlah RM20,000 milik lelaki itu. Dia kini direman hingga 22 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-Bernama.