Pusat Islam Wujudkan Food Bank Di Masjid Al-Mursyidin

KENANGAN… Pengarah Pusat Islam, Muhammad Tarmizi bergambar bersama Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura dan Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Pelajar Nur Shafiq Iqwan (kanan) di Ruangan Foodbank.

TANJUNG MALIM: Menerusi inisiatif Tabung UPSI Prihatin yang digerakkan oleh Jabatan Bendahari, Pusat Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan simbolik penubuhan Foodbank yang ditempatkan di Masjid al-Mursyidin UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Sesi pelancaran itu disempurnakan oleh Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abd. Rahman dalam satu majlis ringkas yang turut mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pengarah Pusat Islam, Muhammad Tarmizi Abd Rahman berkata pusat berkenaan mengambil inisiatif memperuntukkan satu ruangan khas yang dikenali sebagai FoodBank Al-Mursyidin.

“Dengan menjadikan masjid sebagai pusat tumpuan warga universiti dengan pelbagai aktiviti, ruangan Foodbank ini bakal memberikan manfaat kepada seluruh warga universiti dan penduduk sekitar kampus yang mengunjungi Masjid al-Mursyidin,” katanya.

SIMBOLIK… Simbolik penyampaian oleh Pendaftar UPSI ( tiga dari kiri) kepada Zulridzuan Zainudin.

Bertemakan ‘Ambil Jika Perlu Beri Jika Mampu’, katanya, projek Foodbank itu dilaksanakan hasil persetujuan pihak Bendahari dan pusat-pusat tanggungjawab yang terdiri daripada Pusat Islam sendiri, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti(UCTC) untuk ditempatkan di beberapa lokasi tumpuan sekitar kampus.

Beliau berkata usaha itu adalah rentetan kemelut suasana pandemik COVID-19 yang sedang dihadapi masyarakat awam pada masa kini.

Selain itu, katanya, dana projek Foodbank berkenaan juga merupakan sebahagian hasil sumbangan ikhlas kakitangan UPSI yang membuat potongan gaji.

“Peruntukan yang disalurkan ini, digunakan untuk membeli keperluan harian berbentuk barangan makanan,” katanya.

SUMBANGAN….Pengarah Pusat Islam menyampaikan sumbangan kepada siswi UPSI, Farah Idayu Md Rodzi.

Helmi Zaifura dalam ucapannya berharap projek yang mulia seumpama itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan buat mereka yang terkesan dari sudut kewangan dan juga memberikan peluang warga UPSI melakukan amal jariah selain sebagai tanda keprihatinan sesama masyarakat awam.

“Langkah yang diambil oleh Pusat Islam sangat baik dan proaktif dalam membantu masyarakat serta warga UPSI termasuk mahasiswa berikutan suasana penularan COVID-19 yang tidak menentu,” katanya.

scroll to top