Sabah dan Sarawak kini berstatus wilayah, bukan lagi negeri

AHMAD ZAHID

KUALA LUMPUR: Kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur menjadikan kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

“Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai obligasi perundangan dan moral yang cukup besar terhadap Sabah dan juga Sarawak,” kata beliau.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini, yang dihadiri 2,820 perwakilan.

Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan segera.

“Walaupun ada beberapa perkara pokok yang telah dilaksanakan, masih banyak perkara  yang menjadi asas kepada MA63 perlu diterjemah pelaksanaannya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata limpahan pembangunan di Kalimantan perlu digarap segera agar Sabah dan Sarawak lebih pesat membangun.

“Sejak  1963, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memajukan Sabah dan Sarawak, seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia,” kata beliau.

Pada 4 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin sekarang perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63 selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu.

Anwar turut mengumumkan jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan harus dikaji setiap lima tahun agar jumlahnya lebih munasabah selain bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di kedua-dua negeri diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.-BERNAMA.

scroll to top