Sembilan Premis Perniagaan Musnah Dalam Kebakaran

JELI: Sembilan peniaga yang baru menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi sejak pelaksanaan fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini, kini terpaksa berputih mata menanggung kerugian selepas premis perniagaan mereka di Pekan Bukit Bunga, di sini, musnah dalam kebakaran pagi kelmarin.

Seorang peniaga Rohana Che Daud, 60, berkata kebakaran berlaku sangat pantas, menyebabkan kebanyakan peniaga terlibat tidak sempat menyelamatkan barangan jualan mereka seperti pakaian dan cenderamata.

Katanya ketika kejadian beliau baharu saja sampai untuk membuka kedai dan sempat melihat kebakaran bermula di kedai paling hujung, sebelum merebak ke premis lain dengan pantas.

“Api merebak terlalu cepat, peniaga di sini yang menjual pakaian dan cenderamata tidak sempat menyelamatkan barangan jualan mereka. Kebakaran ini menyebabkan saya mengalami kerugian melebihi RM70,000 apabila keseluruhan bekalan perniagaannya musnah.

“Saya kini buntu selepas ini untuk mencari modal memulakan perniagaan kerana dalam tempoh pandemik COVID-19 hanya bergantung kepada wang simpanan bagi kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Seorang lagi peniaga Tasni Venik, 26, berkata semasa kejadian beliau sedang mengemas sebelum membuka premis yang menjual makanan ringan dan pakaian itu.

“Seorang rakan peniaga datang memberi tahu ada kebakaran dan menyuruh saya keluar dari kedai untuk menyelamatkan diri kerana api semakin merebak dengan asap yang tebal. Tidak sempat lakukan apa-apa, hanya mampu melihat dan reda dengan kejadian ini,” katanya yang berniaga di situ sejak lima tahun lepas.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zain berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.22 pagi mengenai kebakaran itu.

“Kebakaran ini berjaya dikawal pada 9.49 pagi. Sembilan buah deretan kedai yang terlibat musnah 90 peratus akibat kejadian itu. Punca dan kerugian masih dalam siasatan pihak kami,” katanya.-Bernama.

scroll to top