Sesi Persekolahan Bermula Dengan Pelajar Bersemangat Ikuti Kelas Secara Fizikal

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bagi 12 negeri Kumpulan B bermula hari ini dengan para pelajar bersemangat kembali ke sekolah untuk mengikuti pembelajaran secara fizikal di dalam kelas selain bertemu guru dan rakan-rakan.

Ibu bapa juga memberikan reaksi positif terhadap pembelajaran dan kelas secara bersemuka berbanding kelas yang dijalankan secara dalam talian sebelum ini.

Sekolah Kumpulan B ialah sekolah di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Selangor.

Tinjauan Bernama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maxwell di ibu negara hari ini mendapati rata-rata ibu bapa bersyukur dengan pembukaan sekolah kali ini selepas melihat anak-anak mereka melalui tempoh sukar sepanjang belajar secara dalam talian.

Bagi Mathibathanan Ramakrishnan, 57, beliau secara peribadi berasakan bahawa manfaat pembelajaran secara fizikal adalah lebih besar berbanding kelas secara dalam talian terutamanya dalam aspek melibatkan kesihatan mental pelajar.

“Di sekolah, anak saya dapat bersosial serta berinteraksi dengan rakan dan guru. Pembelajaran juga lebih efisien sebab mudah untuk bertanya…bagi saya, banyak lagi masalah kelas secara online ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bernama difahamkan SMK Maxwell yang terjejas ketika banjir melanda ibu negara bulan lepas dapat menerima kehadiran pelajar-pelajarnya setelah sekolah berkenaan dibersihkan secara gotong-royong oleh ibu bapa yang juga alumni sekolah berkenaan.

Di Selangor, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin meluangkan masa lebih satu jam untuk meninjau pengoperasian Sekolah Kebangsaan (SK) Meru di Kapar, Klang.

Bapa pasangan kembar murid perempuan prasekolah di SK Meru, Zainal Sadari, 38, berkata kedua-dua anaknya Ariana Nur Iman Tihani dan Althia Nur Iman Tihani, sangat teruja untuk ke sekolah pagi ini memandangkan sudah lama tidak bersemuka dengan rakan-rakan.

Di Perak, tinjauan di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang di Ipoh mendapati ibu bapa menghantar anak ke sekolah menggunakan konsep ‘pandu lalu’ yang diperkenalkan sekolah sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19.

Kelihatan kebanyakan murid Tahun Satu, Dua dan Enam hadir seawal pukul 6.50 pagi untuk beratur menjalani pemeriksaan suhu badan serta menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki kelas masing-masing.

Di Perlis rata-rata murid sekolah teruja dapat kembali ke sekolah dengan azam baharu apabila sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bermula hari ini.

Seorang murid Tahun Lima, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Kangar, K. Jeyshrini berkata beliau berasa teruja dapat kembali mengikuti pembelajaran secara bersemuka bersama rakan-rakan di sekolah.

Turut berkongsi kegembiraan ialah Noor Damia Mahamad Noor, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Putra, Kangar yang begitu teruja ke sekolah dan mengakui dia tidak dapat melelapkan mata malam tadi kerana tidak sabar untuk hadir ke sekolah pagi ini.

Di Melaka, Pengerusi Jawatakuasa Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata seramai 85,136 murid sekolah rendah dan 65,219 pelajar sekolah menengah memulakan sesi persekolahan hari ini.

Beliau berkata masih terdapat 71 pelajar merangkumi sekolah rendah dan menengah yang masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Jasin akibat banjir.

“Bagi guru pula, tiada yang terjejas akibat banjir dan mereka bertugas seperti biasa hari ini. Pelajar yang mengalami masalah kerosakan buku teks atau kelengkapan sekolah diharap berhubung dengan sekolah bagi tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pelitup muka kepada pelajar dan guru di Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak.

Di Negeri Sembilan, pelajar SMK Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Puteri Nur Hidayatul Akma Mohd Khairi, 16, bersemangat memulakan hari pertama persekolahan meskipun tidak dapat memakai uniform lengkap seperti tahun sebelumnya.

Susulan banjir teruk melanda Taman Sungai Gemas, Puteri Nur Hidayatul hanya dapat membuat persiapan secara sederhana dengan memakai kemeja-T lengan panjang dan seluar sukan serta berselipar ke sekolah, pagi ini.

“Ini merupakan pengalaman pertama dalam hidup saya memakai baju biasa dan selipar susulan kesemua pakaian dan peralatan sekolah rosak dan dihanyut arus deras. Walaupun barang-barang semua basah dan habis rosak, ia tidak mematahkan semangat saya untuk pergi ke sekolah,” katanya.

Seramai 194,345 pelajar di negeri ini merangkumi 107,522 murid sekolah rendah dan 86,823 pelajar sekolah menengah membabitkan lima Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) termasuk Seremban, Kuala Pilah dan Tampin.

Di Pahang, sebanyak 34 sekolah tidak memulakan sesi persekolahan hari ini kerana masih dinaiki air dengan 10 daripadanya terletak di daerah Pekan.

Bakinya pula ialah masing-masing enam di Temerloh dan Rompin, Bera (empat), Jerantut (tiga), Lipis (tiga) dan dua di Kuantan. Sementara enam lagi sekolah tidak beroperasi walaupun banjir sudah surut, disebabkan persekitaran sekolah masih tidak sesuai untuk menerima kehadiran pelajar.

Sementara bagi pengusaha van sekolah Yusri Akob, 47, menyifatkan pembukaan sekolah membolehkan beliau menarik nafas lega selepas pendapatannya terjejas tahun lepas akibat pandemik COVID-19.

“Rumah di Kuantan yang dinaiki air akibat banjir bulan lepas menyebabkan saya sangat perlu untuk bekerja bagi menggantikan barang yang rosak,” katanya.

Di Kota Kinabalu, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Dr Mistirine Radin berkata seramai 536,395 pelajar memulakan sesi persekolahan hari ini melibatkan 1,075 sekolah rendah dan 218 sekolah menengah di seluruh Sabah.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi seramai 320,912 murid sekolah rendah dan 215,483 pelajar sekolah menengah.-Bernama.

scroll to top