Tiada Bukti Serangan Hendap Di Narathiwat Dilakukan Di Malaysia – Polis

SHAFIEN MAMAT

KOTA BHARU: Polis Kelantan hari ini menafikan dakwaan bahawa serangan ke atas Pos Operasi Tempur Kompeni Renjer di Tak Bai, Narathiwat, Thailand, awal pagi semalam telah dilakukan dari tebing sungai Malaysia.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata dakwaan oleh pihak tentera Thailand itu tidak mempunyai asas yang kukuh kerana tiada sebarang pembuktian yang dikemukakan oleh mereka.

Beliau berkata berdasarkan dakwaan itu, serangan ke atas pos tersebut dilakukan oleh kumpulan pemisah Thailand dari tebing sungai di negara ini.

“Polis Kelantan telah menjalankan siasatan di lokasi iaitu Pangkalan Haram Ikan Kering, Kubang Pak Itam, Pasir Mas yang didakwa digunakan oleh pihak pemisah untuk melakukan serangan namun tidak menjumpai sebarang bentuk bukti kelongsong peluru atau kesan tembakan di lokasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shafien berkata susulan kejadian tersebut, polis telah memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan di antara kedua-dua negara dengan melakukan pemantauan secara berterusan.

Semalam seorang anggota renjer maut manakala empat cedera parah dalam satu serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di pos kawalan tersebut dalam kejadian pada kira-kira 2.20 pagi (waktu tempatan).-Bernama.

scroll to top