UPSI, CSPI Jalin Kerjasama Perluas Program Dua Hala

SECARA MAYA… Prof Dr Md Amin dan Prof Mukhamedov Gafurdjan Isroilovich menunjukkan dokumen yang ditandatangani masing-masing

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Chirchik State Pedagogical Institute (CSPI Uzbekistan) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk melaksana dan meluaskan program dua hala berkaitan bidang akademik bagi tempoh lima tahun.

MoU ditandatangani Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff manakala CSPI diwakili oleh Rektor, Prof Mukhamedov Gafurdjan Isroilovich.

Prof  Dr. Md Amin berkata MoU itu bertujuan memperkukuh, mempromosi dan membangunkan disiplin akademik dan hubungan antara institusi pengajian tinggi dalam meluaskan peluang untuk pertukaran pelajar, mobiliti, aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang berkaitan.

Tambah beliau, MoU itu membolehkan UPSI dan  CSPI mengadakan pelbagai agenda melibatkan pertukaran ilmu dan kepakaran dalam akademia dan saintifik serta penulisan dan penerbitan; penganjuran dan penglibatan bersama dalam seminar dan persidangan antarabangsa, forum, simposium, webinar serta latihan; penawaran program-program pengajian sama ada secara formal, secara atas talian dan pengajian jarak jauh untuk pelajar dan ahli akademik; selain penganjuran kursus-kursus bahasa dan kebudayaan.

“Kerjasama menerusi MoU ini menandakan permulaan perkongsian yang lebih bermakna dan kerjasama yang berkesan antara UPSI dan CSPI yang akan membawa program pendidikan kita ke masa depan yang berbeza dan ketara,” katanya.

Majlis yang diadakan secara maya menerusi platform Webex itu turut disiarkan secara langsung di laman rasmi Facebook Fakulti Pengurusan dan Ekonomi dan dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Marzita Puteh; Pendaftar,  Helmi Zaifura Abdul Rahman; Mrs. Rajabova Irina Tohirovna serta Dekan FPE, Prof Madya Dr Mohd Asri Mohd. Noor.

scroll to top