UPSI Hantar Pasukan ResQ Bantu Mangsa Banjir Lumpur Yan 

BERI TAKLIMAT… Dr Norkhalid ( dua dari kanan) memberi taklimat kepada anggota ResQ Team sebelum bergerak ke Yan pagi tadi. 

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertindak aktif  menghantar pasukan ResQ Team untuk membantu mangsa musibah banjir lumpur berikutan kejadian kepala air di Yan, Kedah.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI menubuhkan ResQ Team lebih 20 tahun lalu untuk memberi khidmat kesukarelawanan dan sebagai tanda keprihatinan membantu komuniti yang dilanda musibah bencana alam termasuk  banjir.

Beliau berkata ResQ Team sehingga kini berjaya menjalankan 40 misi bantuan ke beberapa negeri antaranya Melaka, Johor, Kedah, Pahang, Kelantan, Perak dan Terengganu.

“Penubuhan ResQ Team bertujuan memupuk nilai keinsanan, kemanusiaan dan kesukarelawanan dalam kalangan kakitangan serta mahasiswa yang dapat mengukuhkan keperibadian dan keprihatinan semasa belajar dalam membantu  komuniti apabila menjadi pendidik kelak,” katanya.

Menurut Md Amin, mahasiswa UPSI dididik memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi selain mencapai prestasi akademik yang cemerlang.

Seramai 20 sukarelawan UPSI membabitkan kakitangan dan mahasiswa bergerak jam 9.00 pagi tadi   ke kawasan yang dilanda banjir lumpur di Yan  untuk membantu penduduk  yang terkesan iaitu di daerah Yan termasuklah Kampung  Setoi, Kampung Ruat, Kampung  Permatang Gamat,  serta Kampung Titi Bakong,  serta Kampung  Sungai Badak di Gurun.

Pengarah Unit Tarnsformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin yang mengetuai misi bantuan itu berkata  menjadi tanggungjawab ResQ Team  untuk  membantu komuniti di  kampung-kampung  yang memerlukan pelbagai jenis bantuan dan sumbangan terutamanya daripada semua universiti awam.

“Saya dibantu oleh pensyarah dan kakitangan UPSI seramai 20 orang dan misi bantuan  ini akan dijalankan bermula hari ini sehingga Ahad ini ,”  katanya.

MISI BANTUAN…Antara anggota ResQ Team yang terlibat dengan misi bantuan mangsa banjir lumpur di Yan.

Beliau berkata mereka menggunakan empat  buah kenderaan pacuan empat roda (4WD)  dan sebuah lori  dan akan memberi fokus kepada kerja-kerja pembersihan rumah keluarga pelajar-pelajar, alumni UPSI dan masyarakat setempat di kawasan terjejas serta serahan sumbangan.

Misi sukarelawan itu, katanya, dijalankan dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) serta Universiti Awam Zon Utara.

Beliau berkata sumbangan daripada Tabung UPSI Prihatin juga disalurkan berbentuk beras, sabun, gula, milo dan minyak masak juga diberikan kepada keluarga pelajar UPSI yang terlibat.

“Di kawasan kejadian,  kami turut membantu keluarga  pelajar semester tujuh Fakulti Sains dan Matematik, Najihah Azizan di  Kampung Singkir Genting, Bedong.

Mana-mana pihak serta alumni UPSI yang ingin memberi sumbangan kepada ResQ Team boleh menghubungi Dr Norkhalid di talian 016-5100230.

scroll to top