UPSI Prihatin Kebajikan Mahasiswa Sabah Sempena Aidiladha

TANJUNG MALIM: Kemelut COVID-19 membuatkan ramai mahasiswa dari Sabah tidak dapat pulang ke kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim.

Namun, terdapat segelintir mahasiswa Sabah berada di kampus dan sekitar Tanjung Malim berjuang menyiapkan tugasan dan melaksanakan tanggungjawab tertentu.

Penasihat Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), Mohd Fadhil Abdullah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua mahasiswa anak Sabah atau ahli IKSAS sama ada yang berada di kampung halaman masing-masing mahupun di sekitar kampus.

“ Alhamdulillah, kita masih dapat menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana berikutan situasi semasa negara yang sedang bergelut dengan usaha memulihkan pandemik COVID-19.

Beliau berkata UPSI juga mengedarkan bungkusan makanan sempena Aidiladha untuk mahasiswa Sabah yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Suriani Abu Bakar .

“Kelmarin UPSI mengagihkan makanan kepada kakitangan UPSI seperti pengetua, felo, petugas serta pelajar yang masih berada di sekitar UPSI bagi menghidupkan suasana hari raya yang sememangnya berbeza daripada tahun-tahun lalu,” katanya.

Beliau memahami mahasiswa anak-anak Sabah terpaksa menundakan hasrat untuk balik beraya bersama sanak saudara di kampung halaman demi keselamatan diri dan membendung daripada penularan COVID-19.

Walau bagaimanapun, katanya, ahli-ahli IKSAS harus bijak memanfaatkan aplikasi seperti Whatsapp, Facebook dan sebagainya untuk menitip ucapan Aidiladha kepada mereka.

“Sehingga hari ini, pihak Task Force Borneo iaitu jalinan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) serta Jalinan Anak Sarawak (JASA) berjaya membawa seramai 215 pelajar balik ke Sabah setelah mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

PRIHATIN…Prof Datuk Dr Mohd Amin (tengah) mengetuai program mengedarkan bungkusan makanan sempena Aidiladha.

Katanya, masih ada 66 pelajar Sabah yang tidak balik disebabkan tuntutan tugas dan sebagainya.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada ibu bapa agar tidak risau akan kebajikan anak-anak mereka yang masih berada di kampus UPSI kerana pihak UPSI sentiasa berusaha menjaga kebajikan pelajar yang tidak balik kampung iaitu melalui bantuan-bantuan makanan, kediaman dan lain-lain lagi,’ katanya.

Beliau berkata sekiranya mempunyai keperluan mendesak, pelajar juga boleh menghubungi persatuan IKSAS yang sememangnya ditubuhkan khas bagi menjaga kebajikan pelajar-pelajar Sabah di UPSI.

Mohd. Fadzil yang juga Pengetua Kolej Awang Had Salleh merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi UPSI dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung terutamanya dalam menjaga kebajikan semua pelajar khususnya pelajar-pelajar Sabah.

scroll to top