TANJUNG MALIM: Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mohamad Nazmi Mohd Najid terharu apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan derma siswa menerusi Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS).
Dermasiswa berjumlah RM 23, 574 itu disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di rumah keluarga Mohamad Nazmi di Kampung Parit Samak, Batu Pahat, Johor.
Noraini melahirkan kebanggaan dengan inisiatif yang sangat baik oleh UPSI untuk menzahirkan impian Mohamad Nazmi melanjutkan pengajian.
“Saya berharap Mohamad Nazmi akan belajar dengan tekun dan rajin demi membela nasib keluarga dan kecemerlangan masa depannya,” katanya.
Mohamad Nazmi yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2020, berdepan dengan masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian di UPSI berikutan bapanya menghadapi masalah kesihatan.
Bersimpati dengan impian, Mohamad Nazmi Mohd Najid yang berhasrat melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di Fakulti Pembangunan Manusia pada 9 Ogos depan.
Sementara itu, Pengarah WEZAS, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd. Latif berkata pusat berkenaan sentiasa mengenalpasti pelajar UPSI yang tidak bernasib baik atau calon yang berjaya memasuki universiti tetapi menghadapi masalah kewangan.
“Kami mengalu-alukan sumbangan pihak korporat untuk memberi sumbangan berbentuk zakat perniagaan dan ia dapat dimanfaatkan untuk mereka yang memerlukan,” katanya.
Mohamad Nazmi berazam untuk belajar sehingga berjaya menamatkan kejayaan dan tidak akan menghampakan harapan kedua ibu bapanya.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatinan pihak UPSI yang bersimpati terhadap saya dan keluarga,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah; Pengarah Unit Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril .
Selesai menyampaikan dermasiswa, mereka menziarahi dan bertemu alumni era Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Abu Bakar Jaafar, 56, yang bersara sebagai pendidik pada 1 Disember 2020. Abu Bakar mengalami masalah otot yang menjejaskan kesihatan.
Mereka turut menziarahi alumni Masood Hashim, 71, yang bersara pada tahun 2006 .
Rohani Parkash berkata sempena sambutan 100 tahun, UPSI menjejaki alumni menerusi program ziarah sebagai tanda ingatan dan mengenang jasa mereka dalam dunia pendidikan dan sebagai alumni.
“Universiti terharu dengan sumbangan dan komitmen alumni yang berjasa mendidik anak bangsa di seluruh negara,” katanya.
Naib Canselor, Prof Datuk Md Amin Md Taff berkata sempena sambutan 100 tahun, UPSI akan menjayakan 100 program bermula 29 November 2021 sehingga 29 November 2022.
“Sempena sambutan 100 tahun UPSI akan menjayakan pelbagai program sambutan membabitkan kluster dalam penganjuran program sejarah, teknologi pendidikan, kebudayaan, kerohanian, kepimpinan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi, rekreasi, keusahawanan, pengantarabangsaan, komuniti, serta alumni yang dijayakan semua peringkat pusat tanggungjawab yang ada di UPSI.