TANJUNG MALIM: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi sumbangan sebanyak 1,300 bungkusan makanan kepada mahasiswa, pengetua, felo dan kakitangan yang bertugas di kolej-kolej kediaman universiti berkenaan.
Bungkusan makanan yang mengandungi nasi beriani, sate dan dadih itu disampaikan oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff di Kolej Za’ba dan Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City sejurus selesai solat sunat Aidil Adha di Masjid Al-Mursyidin.
Prof Datuk Dr Md Amin berkata agihan makanan itu bertujuan meraikan pelajar yang tidak pulang ke kampung disebabkan kekangan yang tidak dapat dielakkan seperti tugasan dan tanggungjawab yang dilakukan selain mewujudkan suasana sambutan Hari Raya Aidiladha mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Dengan sumbangan ini dapatlah sedikit-sebanyak mengubati kerinduan mahasiswa kepada keluarga di kampung masing-masing termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata bungkusan makanan itu disumbangkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumi sebagai inisiatif kebajikan dan keprihatinan terhadap mahasiswa dan kakitangan kolej-kolej kediaman.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Suriani Abu Bakar; Ketua Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Zarina Mohd Yaacob; Pengerusi Majlis Pengetua, Prof. Madya Dr Mohd Nizam Nasrifan; Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, Prof. Madya Ts. Dr. En. Ghani Che Kob serta Yang Dipertua MPP, Nur Shafiq Iqwan Shafiruddin.