TANJUNG MALIM: Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mengumpul barangan yang diperlukan daripada orang ramai untuk disumbangkan kepada kontinjen Malbatt 850-9 ATM (Angkatan Tentera Malaysia) sempena program Misi Kemanusiaan Lubnan FBK PRIHATIN 2021.
Sesi penyerahan dilakukan secara ringkas dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Dekan FBK, Prof. Madya. Dr. Mazura@Mastura Muhamad kepada wakil pihak Malbatt 850-9 ATM, Mejar Muhammad Aidil Zali pagi kelmarin.
Semasa sesi penyerahan, Prof. Madya Dr. Mazura@Mastura berkata program yang dijalankan itu walaupun dilaksanakan dalam suasana pandemik, namun ia tetap mendapat sambutan luar biasa sama ada dari pihak warga UPSI mahupun orang awam.
“Program ini menggerakkan semua ahli jawatankuasa dalam kalangan pensyarah dan pelajar untuk membuat hebahan menggunakan media sosial secara meluas dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari semua pihak,” katanya.
Mejar Muhammad Aidil Zali yang menerima sumbangan bagi pihak MALBATT berkata sumbangan yang dikumpulkan oleh FBK itu akan diserahkan kepada komuniti di kawasan Selatan Bandaran Lubnan yang meliputi orang awam, hospital, sekolah dan institusi yang berada di sana.
Beliau berkata kehidupan penduduk setempat Lubnan terjejas disebabkan oleh kesan peperangan dan sangat memerlukan bantuan seperti pakaian musim sejuk, drypers kanak-kanak dan dewasa, tuala wanita, permainan kanak-kanak, set alat tulis kerusi roda, tongkat orang dewasa dan brochure kesihatan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.
“Saya bagi pihak MALBATT 850-9 sangat berbesar hati dengan program kerjasama yang dijalankan seperti ini dan mengharapkan program kerjasama seperti ini akan terus dapat dijalankan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FBK, Prof, Madya Dr. Saipolbarin Ramli berkata program seumpamanya adalah julung-julung kali dianjurkan secara bersama dengan pihak kontinjen MALBATT 850-9 ATM.
Menurut beliau pelajar yang terlibat sebagai AJK dalam program berkenaan menzahirkan perasaan bersyukur dan gembira dan menyumbang tenaga terhadap satu program kemanusiaan dan prihatin kepada rakyat Lubnan yang memerlukan.
“Ini kerana, pelajar diberi peluang untuk mengendalikan secara terus program yang mempunyai impak tinggi berkaitan dengan aktiviti khidmat sosial seperti ini.
Dr. Saipolbarin merakamkan ucapan terima kasih kepada En. Zamri Yusof dan Puan Nordiana Ramli yang menawarkan homestay kediaman mereka sebagai pusat pengumpulan utama di Taman Wangsa Jaya, Tanjung Malim Perak selain alumni FBK, Dr. Norfaizah Abdul Jobar yang menggerakkan sumbangan.
“Penglibatan dan sokongan daripada semua pihak adalah faktor utama yang menjayakan program ini dan mengharapkan melalui program seperti ini dapat melahirkan pelajar yang holistik dalam persiapan menyediakan pengalaman dan pengetahuan kepada mereka terhadap masyarakat luar sebelum bergraduat,” katanya.