UPSI Wujudkan HOPE Line Bantu Masyarakat Hadapi Cabaran COVID-19

TANJUNG MALIM:Keadaan COVID-19 menyaksikan statistik kes harian semakin meningkat dan tiada penurunan.

Masyarakat negara ini bukan sahaja terkesan dengan wabak COVID-19, malahan juga dari aspek ekonomi B40 juga turut terjejas.

DR PAU KEE

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kes kematian COVID-19 seringkali terdengar di media sosial dan itu menjadi kegelisahan dan kebimbangan segelintir masyarakat yang melihat.

“Selain itu, kehilangan ahli keluarga tercinta menjadi satu kehilangan yang sukar untuk diterima kerana ahli keluarga tidak dapat berjumpa buat kali yang terakhir.

Beliau berkata kehidupan masyarakat juga turut terjejas dengan kekurangan keperluan makanan dan keperluan emosi yang sudah lama terjejas.

Sehubungan itu, Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif bekerjasama dengan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, Volunteer for Community Engagement and Empowerment (VCEE19), Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia (PKAM) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial, bantuan asas psikologi dan tele kesihatan mental dalam talian.

Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr Pau Kee berkata tiga talian HOPE Line ditubuhkan untuk membantu warga UPSI dan masyarakat yang memerlukan dalam saat kritikal ini.

“Inisiatif ini bertujuan mendekatkan UPSI dengan komuniti dan bersama komuniti dalam membina daya tindak dan daya tahan masyarakat agar dapat mengharungi cabaran pandemik COVID-19,” katanya.

Di samping itu, katanya, UPSI juga akan menjadi pusat rujukan utama kepada komuniti dari aspek pengurusan emosi, psikologi dan isu-isu kesihatan mental yang semakin kian berlaku.

Menurut beliau bantuan itu dapat mengurangkan stress dan distress yang dialami oleh individu dan membantu untuk mencari strategi daya tindak yang berkesan dalam membantu dirinya.

Ekoran daripada penubuhan tiga talian HOPE Line itu, katanya, Pusat Kaunseling UPSI turut menubuhkan ‘One-Stop Crisis Response Center UPSI (OCRC UPSI)’ yang melibatkan VCEE19 agar perkhidmatan yang menyeluruh dapat disediakan, termasuk keperluan makanan, bantuan untuk pesakit positif COVID-19, serta sokongan emosi dan psikososial yang diperlukan.

“Pusat tersebut berfungsi sebagai pusat penyelarasan VCEE19 dalam aspek perkhidmatan sokongan psikososial dan tele kesihatan mental di Malaysia. Di samping itu, partner komuniti juga boleh membantu dalam menyalurkan bantuan keperluan asas jika ada,” katanya.

Dalam penubuhan talian HOPE Line dan OCRC UPSI ini, barisan kaunselor berdaftar dan berlesen di Pusat Kaunseling bersama Pasukan Psychological First Aid UPSI akan bertugas sepenuhnya pada setiap hari.

“Satu talian yang beroperasi 24 jam turut disediakan untuk memenuhi keperluan masyarakat di sepanjang Pandemik COVID-19. Dengan harapan tindakan UPSI bersama masyarakat dapat sedikit sebanyak meringankan beban emosi dan membantu untuk meningkatkan resiliensi masyarakat dalam menghadapi pandemik COVID-19,” katanya.

Inisiatif itu turut disokong penuh oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Ts. Dr Suriani Abu Bakar, serta Pengerusi VCEE19, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

POSTER HOPELINE

Dr Zainal berkata VCEE19 adalah di bawah naungan Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dan Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia (PKAM) yang dilantik oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai entiti basmi COVID-19 di Malaysia.

“Kerjasama sebegini dapat memperluaskan ketercapaian perkhidmatan sokongan psikososial dan kaunseling kepada golongan masyarakat, terutamanya untuk ‘silent sufferers’ agar sokongan emosi dan psikologi serta bantuan segera dapat diberikan,” katanya.

scroll to top