Warga Muallim Terima Bantuan Pusat Islam UPSI, JIMNY@TGM

SERAH BANTUAN… Muhammad Tarmizi menyerahkan bantuan keperluan harian kepada Penghulu, Mohd Isa Hamid untuk disampaikan kepada penduduk.

TANJUNG MALIM: Pusat Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama JIMNY@TGM, menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada 50 keluarga di sekitar daerah Muallim.

Menurut Penghulu, Mohd Isa Hamid, kesemua keluarga yang menerima sumbangan adalah terdiri daripada mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19, sama ada melibatkan kekangan sumber pendapatan, kehilangan pekerjaan dan pelbagai lagi kesulitan lain yang dihadapi akibat Covid-19 ini.

Sesi penyerahan bantuan itu katanya, dilaksanakan di Pejabat Penghulu Daerah Muallim tanpa melibatkan sebarang pergerakan dari rumah ke rumah penerima sumbangan, malah mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.

Sumbangan amal itu disempurnakan oleh Pengarah Pusat Islam UPSI, Ustaz Muhammad Tarmizi Abd Rahman merangkap Pengerusi Masjid Al-Mursyidin UPSI.

Muhammad Tarmizi berkata Pusat Islam adalah salah satu Pusat Tanggungjawab di UPSI yang aktif menjalankan program berunsur hal ehwal Islam dan khidmat kemasyarakatan, bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada warga UPSI, malah melebarkan peranannya bersama komuniti setempat khususnya kepada warga Daerah Muallim.

PETUGAS…Kumpulan kakitangan UPSI yang dikenali sebagai JIMNY@TM bersiap sedia untuk bergerak ke Pejabat Penghulu Daerah Muallim.

“Pada kali ini program, Community Service Responsibility (CSR) 2.0, Pusat Islam meneruskan kerjasama dengan JIMNY@TGM melalui aktiviti Bantuan Amal Muallim,” katanya.

JIMNY@TM yang diwakili Prof Madya Dr Mohd. Azlan Hanafiah adalah kumpulan yang membabitkan kakitangan UPSI yang aktif menganjurkan program-program amal menggunakan medium berkenderaan four-wheel-drive off-road mini SUVs.

Azlan berkata diharapkan program seumpama itu dapat diperhebatkan lagi dari semasa ke semasa demi menzahirkan keprihatinan dan tanggungjawab sesama masyarakat.

scroll to top