Ziarah Kasih Dua Alumni Sempena Sambutan 100 SITC-MPSI-IPSI-UPSI

BERSAMA ALUMNI…Puan Sri Rohani Parkash (kiri) bersama alumni (tengah) dan Prof Madya Dr Norkhalid (tengah) mendengar Abu Bakar Jaafar di Taman Industri Sri Sulong, Batu Pahat bercerita tentang kenangannya semasa belajar.

TANJUNG MALIM: Biar sudah bersara sebagai pendidik di sekolah, namun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tetap prihatin dan mengingati alumni membabitkan empat iaitu Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) serta UPSI.

Justeru, sempena sambutan 100 tahun merentas empat era berkenaan, UPSI menjayakan program Ziarah Kasih untuk bertemu alumni.

Terbaru Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah bersama Pengarah Unit Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin dan Pengarah Bahagian Komuniokasi Korporat (BKK), Prof Madya Dr. Mohd. Izwan Shahril menziarahi dua alumni era MPSI di Batu Pahat, Johor.
Mereka ialah , Abu Bakar Jaafar, 56, yang bersara sebagai pendidik pada 1 Disember 2020. Abu Bakar mengalami masalah otot sehingga menjejaskan kesihatannya.

PLAK KHAS…Puan Sri Rohani menyampaikan plak khas untuk alumni, Masood Hashim di rumahnya di Parit Haji Ibrahim, Batu Pahat, Johor.

Selain itu, mereka turut menziarahi Masood Hashim, 71, yang bersara pada tahun 2006 yang juga alumni era MPSI.

Puan Sri Rohani Parkash bertemu kedua-dua alumni berkenaan selepas mengiringi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyampaikan dermasiswa daripada UPSI untuk seorang bakal pelajar universiti berkenaan yang mengalami masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak pada 9 Ogos depan.

Puan Sri Rohani Parkash berkata sempena sambutan 100 tahun, UPSI menjayakan program Ziarah Kasih sebagai tanda ingatan terhadap alumni dalam dunia pendidikan dan sebagai alumni zaman pengajian mereka.

“Universiti tetap mengenang dan terharu dengan sumbangan dan komitmen alumni yang berjasa mendidik anak bangsa di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata alumni atau ‘Anak kandung Suluh Budiman’ yang ditemui begitu gembira dengan kehadiran wakil UPSI yang menjejaki mereka di kampung halaman masing-masing.

Sementara itu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sempena sambutan 100 tahun, UPSI akan menjayakan 100 program membabitkan semua kakitangan dan mahasiswa serta alumni bermula 29 November 2021 sehingga 29 November 2022.

“Sempena sambutan 100 tahun UPSI akan menjayakan pelbagai program sambutan membabitkan kluster dalam penganjuran program sejarah, teknologi pendidikan, kebudayaan, kerohanian, kepimpinan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi, rekreasi, keusahawanan, pengantarabangsaan, komuniti, serta alumni yang dijayakan semua peringkat pusat tanggungjawab yang ada di UPSI.

Menurut Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril yang juga mantan Pengarah Pusat Alumni UPSI, pusat berkenaan menjayakan pelbagai kegiatan seperti menjejak alumni di seluruh negara untuk melakukan ziarah sebagai tanda prihatin.

“Selain pelbagai projek penjanaan menerusi sumbangan alumni kepada Pusat Alumni, alumni juga ditawarkan pelbagai kemudahan termasuklah tawaran diskaun 15 peratus untuk alumni yang melanjutkan pengajian di UPSI sama ada ijazah pertama atau pascasiswazah,” katanya.

Sementara itu, menurut Dr Norkhalid UCTC menggerakkan pelbagai program kemasyarakatan universiti sebagai usaha mendekatkan UPSI dengan masyarakat pelbagai lapisan termasuk orang Asli,” katanya.

scroll to top