TAWAU: OP Cegah PTI (OCP) Daratan ESSCom menahan 10 pendatang asing tanpa izin (PTI) di kawasan semak, Jalan Pantai Tawau Lama, dekat sini, tengah malam Khamis.
Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua mereka ditahan ketika sedang bersembunyi di kawasan semak, dipercayai hendak balik ke negara asal mereka melalui laluan yang tidak diwartakan (laluan tikus).
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, sepasukan anggota OCP Daratan ESSCom yang terdiri lapan anggota Quick Response Force (QRF) daripada Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 yang sedang dalam tugas rondaan cegah jenayah telah ternampak kelibat beberapa orang dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki dewasa, enam perempuan dewasa dan dua kanak-kanak perempuan sedang bersembunyi di kawasan semak dipercayai menunggu bot untuk balik ke negara asal mereka di Indonesia.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Tiada rampasan barang-barang yang menyalahi undang-undang dijumpai bersama-sama dengan mereka,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Katanya, kesemua mereka yang berumur di antara 6 bulan hingga 54 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Sementara itu, Ahmad Fuad Othman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota keselamatan khususnya kepada Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 dari Kem Kukusan Tawau yang telah terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan.
Katanya, ESSCom akan sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah dan membanteras aktiviti penyeludupan migran serta kemasukan PTI selain memantau pergerakan kegiatan militan serta kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG) yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini.
“Operasi-operasi seumpama ini akan sentiasa digerakkan 24 jam tanpa henti dengan kerjasama dan sokongan semua pasukan keselamatan di kawasan ESSZone bagi memastikan semua aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk kegiatan culik untuk tebusan dapat dibanteras dengan jayanya,” katanya.