10 Rumah Atas Air Di Kg. Tanjung Aru Baru Musnah Dalam Kebakaran

HANGUS: 10 buah rumah atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, musnah dalam kebakaran pagi tadi.- Gambar Netizen.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Sebanyak 10 buah rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, pagi tadi.

Menurut kenyataan daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.08 pagi melalui talian MERS 999 yang melibatkan rumah setinggan atas air.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian melalui jarak 4 kilometer daripada balai yang diketuai oleh Ketua Balai BBP Kota Kinabalu Timbalan Penguasa Bomba I Ordine Gilu.

“Bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Penampang turut digerakkan ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Kekuatan keseluruhan keanggotan seramai 40 pegawai pelbagai pangkat  berserta logistik sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT),sebuah jentera kecemasan Light Fire Rescue Tender (LFRT), dua buah water tanker (Prime Mover), sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS), tiga buah RIM (Rapid Intervention Motocycle), dan dua utiliti pelbagai guna.

Turut hadir di lokasi kejadian Pengarah JBPM Sabah, Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Pegawai Kanan Bahagian Operasi, Pegawai Penyiasatan Kebakaran Negeri serta Zon dan Ketua Zon 1 Sabah (Kota Kinabalu).

MARAK … Suasana kebakaran di Kg. Tanjung Aru yang sempat dirakam oleh seorang netizen pagi tadi.

Menurut Komander Operasi, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, pasukan seterusnya membuat pemadaman dengan teknik Offensive Firefighting/Fire Break untuk mengawal kebakaran terbabit daripada merebak ke rumah berhampiran dan pasukan bomba berjaya menyelamatkan puluhan rumah daripada turut musnah.

Dalam kejadian itu, sebanyak 10 buah rumah atas air jenis tidak kekal musnah terbakar 100 peratus.

Operasi terkawal pada jam 7.58 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 9.21 pagi.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Negeri Sabah.

 

scroll to top