100 Helai Jalur Gemilang Diedar

SERAH ... Isnin (tengah) yang diiringi Ag Muil (dua dari kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Yusoff Zaki (dua dari kanan) di IPD Beaufort.

BEAUFORT:  Seratus helai Jalur Gemilang diedar pada hari pertama Program Info On Wheels Merdeka anjuran Jabatan Penerangan (JaPen)  Daerah Beaufort, hari ini.

Pegawai Penerangan Daerah,  Ag Muil Ag Raya berkata, program tersebut dijayakan menerusi kolaborasi bersama rakan-rakan strategik iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Beaufort untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Ogos lalu, kita tidak mahu ketinggalan untuk melaksanakan kempen kibar Jalur Gemilang bersama rakan-rakan strategik di daerah ini.

“Pada hari ini, sebanyak 100 helai Jalur Gemilang telah kita edarkan di dua premis kerajaan iaitu Ipd Beaufort dan JPJ Cawangan Beaufort,” ujar beliau.

Tambahnya, program itu akan diadakan secara berterusan dengan sasaran 15 lokasi yang telah ditetapkan sepanjang sambutan bulan kebangsaan.

KENDERAAN JPJ…Isnin memacakkan Jalur Gemilang pada kenderaan JPJ Cawangan Beaufort.

Hadir memberi sokongan padu kepada kempen berkenaan ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih dan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Datuk Matbali  Musah yang turut memasangkan Jalur Gemilang di kenderaan-kenderaan jabatan.

Pada program ringkas dengan pematuhan SOP sepenuhnya itu, Isnin menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob dan Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa JPJ Cawangan Beaufort, Zaidi Sidi untuk dikibarkan.-Penerangan.

scroll to top