100 kanak-kanak sertai program berkhatan percuma

BERSIRAM: Yunus (tengah) bersama Mohd Khadim ketika acara bersiram kanak-kanak berkenaan.

SANDAKAN: Seramai 100 kanak-kanak menyertai Program Berkhatan Berjemaah secara percuma di Dewan Masjid Daerah Sandakan pada Ahad.

Program berkenaan dianjurkan Pusat Zakat Sabah (MUIS) Sandakan dengan kerjasama Pertubuhan Khidmat Amal Sandakan (PERKAS) dan Persatuan Penduduk Kampung Sim-Sim (PERSIMS).

Ia dirasmikan oleh Pengerusi PERKAS Mohd Yunus Apil.

Hadir sama, Penolong Pegawai Agihan Zakat, MUIS Cawangan Sandakan Mohd Khadim Salleh dan Pengerusi PERSIMS Wahidul Yusri.

Turut diadakan, sebelum berkhatan, acara bersiram yang juga disempurnakan oleh Yunus dengan bantuan pihak Bomba Sandakan.

Yunus berkata, program ini juga antara lain bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan dan kesemua yang menyertainya juga merupakan anak-anak tempatan dari sekitar Kampung Sim-Sim dan Kampung Berhala Darat, Sandakan.

Jelasnya, mereka juga menyasarkan untuk menerima 50 penyertaan.

Bagaimanapun, mereka bersyukur kerana dengan panduan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, mereka dapat menerima 100 penyertaan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pandemik COVID-19.

Katanya, selepas dua tahun tidak diadakan, kini ia dilaksanakan dengan mengikut SOP dan juga sebagai pengisian cuti sekolah.

Yunus juga merakam ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat antaranya Pusat Zakat Sabah, PERKAS, PERSIMS, Masjid Daerah Sandakan, Majlis Perbandaran Sandakan serta Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

Dalam pada itu, Mohd Khadim berkata, Pusat Zakat Sabah Sandakan juga mengalu-alukan program seperti yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) ini.

Jelasnya, dana dari zakat yang disumbangkan juga kembali kepada mereka yang memerlukan.

scroll to top