Turut diadakan Karnival Usahawan dan Kerjaya 2022 selama tiga hari di Wisma MUIS
KOTA KINABALU: Seramai 1,143 graduan dari seluruh negeri Sabah akan menghadiri Majlis Graduasi GIATMARA yang akan berlangsung di Wisma MUIS Kota Kinabalu pada 4, 5 dan 6 Oktober.
Selepas 3 tahun tidak diadakan, Majlis Graduasi GIATMARA Sabah akhirnya dilaksanakan pada 2022 untuk memberi anugerah dan pengiktirafan kepada lepasan pelatih tahun 2019, 2020 dan 2021.

DATO’ Jabar Azman Jaafar dijangka akan merasmikan Majlis Graduasi GIATMARA ini.
Menurut hebahan media GIATMARA Negeri Sabah, majlis akan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Malaysia, Dato’ Jabar Azman bin Jaafar.
Sehubungan itu, GIATMARA Negeri Sabah dengan Kerjasama PERKESO serta hampir 20 agensi kerajaan akan mengadakan Karnival Usahawan dan Kerjaya bersempena Majlis Graduasi itu.
Karnival ini akan melibatkan pameran serta temuduga terbuka yang akan dijalankan oleh PERKESO bersama hampir 30 buah syarikat di bawah kelolaan PERKESO sendiri serta Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah.
Tidak hanya untuk kerjaya, keusahawanan juga diketengahkan sepanjang karnival. Hampir 30 buah booth usahawan lepasan GIATMARA termasuk 10 booth dari pelatih semasa GIATMARA yang menjalankan program Training & Income Generation (TRIG) dan usahawan jemputan luar.
Tidak ketinggalan pelbagai acara menarik disediakan seperti Taklimat PERKESO & JHEWA, Taklimat Perlesenan DBKK, Taklimat Pembiayaan MARA, TEKUN dan SEDCO, program derma darah, pertandingan solekan kreatif, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan fesyen inovatif dan pelbagai lagi acara yang akan dijalankan sepanjang 3 hari GIATMARA berkampung di Wisma MUIS.
“Tahukah anda, sejak dunia dilanda Pandemik Covid-19 pada 2020 hampir separuh masyarakat dunia kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
“Demi kelangsungan hidup, ramai yang berusaha menambah kemahiran sebagai modal tambahan untuk mendapatkan pekerjaan dan pendapatan.
“Semakin ramai menyedari kemahiran mampu dijadikan sebagai sumber pendapatan dan perniagaan,
GIATMARA menjemput semua warga Sabah yang berkelapangan untuk hadir memeriahkan dan mengambil peluang keemasan ini untuk mendapatkan pelbagai info menarik tidak hanya berkaitan kursus dan Latihan kemahiran di GIATMARA tetapi dari pelbagai agensi kerajaan yang turut serta dalam Karnival Usahawan dan Kerjaya GIATMARA 2022 ini.
Maklumat lanjut boleh ikuti kami di facebook rasmi GIATMARA Malaysia atau GIATMARA Sabah.