117 warga Filipina ditahan Jabatan Imigresen Malaysia

DITAHAN ...Pasukan penguatkuasa JIM berjaya menahan seramai 124 individu untuk pemeriksaan termasuk 12 lelaki dan 24 wanita.

KOTA KINABALU: 71 kanak-kanak adalah antara 117 warga asing yang ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di penempatan setinggan berhampiran pinggir Sungai Likas, di sini, hari ini.

Dalam operasi jam 12 tengah malam itu, pasukan penguatkuasa JIM berjaya menahan seramai 124 individu untuk pemeriksaan termasuk 12 lelaki dan 24 wanita.

Bagaimanapun, tujuh daripadanya masih dalam siasatan bagi mengenalpasti dokumen diri yang dimiliki.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang mengetuai 69 pegawai dan anggota berkata, hasil operasi berkenaan, 71 kanak-kanak yang ditahan adalah berusia dua hingga 10 tahun.

Katanya, semakan pegawai Imigresen juga mendapati semua mereka ini tidak mendapat pendidikan dan tidak pernah bersekolah.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa hasil daripada operasi ini, kita mendapati sumber elektrik yang digunakan adalah daripada kegiatan curi.

“Ia menggunakan sambungan kabel berbahaya yang dibuat secara ‘makeshift’ di bawah dan di atas,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan, di sini.

Selain itu Khairul Dzaimee berkata, bekalan air di kawasan setinggan ini juga dicuri dan pihak JIM akan memaklumkan perkara ini kepada pihak berkuasa utiliti serta pihak berkuasa tempatan.

Katanya, keadaan penempatan ini juga amat berbahaya dari segi kesihatan awam termasuk tidak ada sistem perparitan dan sanitasi yang sempurna.

“Semua individu yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Buat masa ini mereka akan dibawa ke lokap Imigresen di Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu ini untuk proses saringan dokumentasi dan sekiranya mereka boleh mengemukakan bukti dokumen, mereka akan dibebaskan manakala bagi yang tiada dokumen akan ditahan ke depoh untuk proses pengusiran ke negara asal.

“Imigresen juga akan merujuk mereka kepada Kementerian Kesihatan supaya mereka yang belum menerima vaksin akan diberikan suntikan,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung depoh di negeri ini boleh menampung tahanan PATI, beliau memaklumkan proses pengusiran masih dilakukan walaupun dalam jumlah yang kecil.

Katanya, setakat ini depoh masih boleh menampung tangkapan ini kerana pengusiran secara kecil-kecilan dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Rundingan sedang dijalankan Imigresen Sabah dengan pihak kerajaan Filipina supaya rakyat mereka iaitu kira-kira 5,000 orang dapat diusir dalam jumlah yang lebih besar,” katanya.

 

 

scroll to top