13 Agensi Barisan Hadapan Terima Anugerah Khas Maal Hijrah

PENGHARGAAN ... Hajiji (dua dari kanan) semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin. 

KOTA KINABALU: Sebanyak 13 agensi barisan hadapan menerima anugerah khas sempena Sambutan Maal Hijrah 1443H/2021 Peringkat Negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, anugerah itu diberikan bagi menghargai sumbangan setiap agensi dalam melaksanakan tugasan membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19.

SUASANA…Suasana sekitar Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah 1443h.

“Agensi-agensi ini sentiasa bersedia melaksanakan apa jua tugasan dan komited dalam menjalankan setiap tanggungjawab yang diamanahkan.

“Oleh itu, kerajaan negeri menzahirkan rasa terima kasih melalui anugerah ini untuk para barisan hadapan yang bertungkus lumus membantu kerajaan membendung wabak Covid-19.

“Kita berharap, kerjasama ini dapat diteruskan dalam memastikan kepentingan rakyat terus diutamakan,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah 1443h di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Jumaat.

Agensi yang menerima penghargaan ialah Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Jabatan Sukarelawan Malaysia Sabah, Jabatan Penyiaran Malaysia dan Persatuan Wartawan Sabah.

KENANGAN…Hajiji (depan tengah) bergambar kenangan bersama wakil agensi barisan hadapan.

Untuk rekod, setiap agensi menerima sijil penghargaan dari kerajaan negeri berserta wang tunai RM10,000.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif.-Penerangan.

scroll to top