KOTA KINABALU: Jumlah kes harian bagi Sabah hari ini (Jumaat) kekal tinggi, yakni 1,654, walaupun terdapat penurunan sebanyak 398 kes berbanding semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, lapan daerah mencatatkan kes baharu tiga digit, iaitu Kota Kinabalu dengan 351 kes (-264), Tawau 210 kes (+32), Penampang 204 kes (-17), Sandakan 116 kes (+23), Kota Belud 107 kes (+23), Papar 101 kes (+56), Tuaran 101 kes (-25) dan Keningau 100 kes (-3).
Katanya, daerah-daerah lain yang memperlihatkan perubahan ketara dalam jumlah kes harian ialah Telupid sebanyak 11 kes (-66), Lahad Datu 36 kes (-14), Beluran 26 kes (-21), Kalabakan 24 kes (-21), Beaufort 29 kes (-27), Kudat 30 kes (+27), Tambunan 2 kes (-15), Kota Marudu 12 kes (-12), Kinabatangan 10 kes (+10), Ranau 27 kes (-17), Sipitang 30 kes (+16) & Putatan 25 kes (-12).
“Daripada 1,654 kes hari ini , 956 kes (58%) adalah daripada saringan kontak rapat dan 528 (32%) melalui saringan bergejala.
“Tren semasa ialah kenaikan ketara kategori bergejala di beberapa daerah, satu isyarat bahawa penularan virus Covid semakin meluas di kalangan komuniti. Di daerah Kota Kinabalu, hampir 37% kes baharu hari ini adalah daripada kategori bergejala, Tawau sebanyak 43%, Tuaran 41.6%, Penampang 29% dan Sandakan 41%.
“Kategori bergejala adalah kes-kes yang menular dalam komuniti secara sporadik, yakni punca penularan sebenar tidak diketahui,” katanya.
Jumlah pesakit dalam kategori 2 juga semakin meningkat berbanding jumlah mereka dalam kategori 1. Hari ini seramai 995 orang (60.2%) dikategorikan dalam kategori 2 dan 306 orang (18.5%) dalam kategori 1, manakala lapan orang dalam kategori 3, empat orang dalam kategori 4 dan tiga orang dalam kategori 5.
“Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini , Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa berusaha mempertingkatkan keupayaan memberi suntikan setiap hari.
“Kelmarin (12/8), JKNS berjaya memberi suntikan 54,091 dos kepada penduduk Negeri Sabah, menghampiri sasaran keupayaan maksimum JKNS sebanyak 59,000 dos sehari.
“Sehingga semalam, 43.9% penduduk dewasa Sabah telahpun memperolehi satu dos vaksin dan 19.6% sudah melengkapkan kedua dua dos,” ujar Masidi.