194 kes COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sebanyak 194 kes baharu COVID-19 pada Isnin iaitu angka jangkitan baharu di bawah paras 200 kes buat pertama kalinya sejak 24 Januari lepas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah berkenaan juga menunjukkan penurunan sebanyak 51 kes berbanding jumlah kes semalam.

Katanya, Kota Kinabalu mencatatkan 55 kes jangkitan baharu dan jumlah kes baharu yang lebih rendah di daerah ini antara faktor utama  yang menyumbang kepada jumlah kes lebih rendah di Sabah.

“Lima daerah mencatatkan kes dua angka iaitu Kota Kinabalu 55 kes, Tuaran 26 kes, Papar 18 kes, Sandakan 11 kes dan Tawau 10 kes.

“Sebanyak 18 daerah pula mencatatkan jumlah kes baharu satu angka, manakala Semporna, Nabawan, Tongod, dan Kalabakan tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, tiga kluster diisytiharkan tamat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini membabitkan Kluster Pengkalan Abai Kota Belud, Kluster Jalan Beluran Lama di Beluran dan Kluster Batu Enam Kota Belud.

Menurutnya, setakat kelmarin, hanya empat kluster yang masih aktif di Sabah.

Masidi berkata, seramai 187 orang atau 96.4 peratus daripada 194 pesakit baharu hari ini berada dalam kategori satu dan dua, tiga pesakit berada dalam kategori tiga, kategori empat merekodkan tiga pesakit dan satu pesakit dalam kategori lima.

scroll to top