200 Dijangka Sertai Seminar Bahasa Dan Etnik Malaysia

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

TUARAN: Seminar Bahasa dan Budaya Etnik Malaysia (SEBEM) anjuran Jabatan Bahasa Kadazan Dusun dan Jabatan Perancangan,Penyelidikan dan Inovasi, Institut Perguruan Guru Kampus Kent akan diadakan pada 9 hingga 10 September ini.

Ketua Jabatan Bahasa Kadazan Dusun, Linah Bagu berkata, seminar itu juga mendapat kerjasama Universiti Malaysia Sabah MS dan SIDMA College.

LINAH BAGU

“Oleh kerana kita sedang berhadapan dengan masalah pandemik Covid-19,seminar ini dijalankan secara dalam talian. Seminar yang pastinya menyajikan santapan minda kerana turut dihadiri oleh beberapa orang cendekiawan dan penyelidik tersohor daripada Malaysia,Indonesia dan Brunei,” katanya.

“Di antara tokoh yang akan membuat pembentangan ialah Dr.Yabit Alas (Brunei),Profesor Dr.Kumpiady Widen dan Dr.Wilson daripada Indonesia,Profesor Madya Dr.Ramzah Dambul, Timbalan Naib Cancelor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi,Universiti Malaysia Sabah,Dr.Mohd Rozi Ismail dari IPGK Kota baharu Kelantan serta 30 orang pembentang yang lain.

Menurut Linah seminar yang bertemakan ‘Melestarikan Bahasa Etnik Era Baharu’ akan dirasmikan pembukaannya oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim,manakala penutupan seminar disempurnakan oleh Pengarah IPGK Kent,Dr.Hajah Rosmawati Hamzah.

DR. SAIMIN GINSARI

“Seminar ini juga dijangka akan disertai oleh 200 orang peserta yang terdiri daripada warga Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Pengajian Tinggi Awam,Institut Pengajian Tinggi Swasta dan agensi kerajaan serta pelbagai pertubuhan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perancangan,Penyelidikan dan Inovasi IPGK Kent, Dr.Saimin Ginsari berkata pelaksanaan program ini adalah selaras dengan objektif program iaitu menyebarluas penemuan amalan terbaik dan inovasi dalam bidang kebahasaan dan pendidikan serta memperkaya rujukan keilmuan pedagogi bidang bahasa,budaya dan sastera sub etnik di Malaysia.

“Saya mengharapkan seminar ini dapat dimanfaatkan oleh para peserta untuk memperkasakan ilmu penyelidikan seterusnya memperkasa fungsi IPG Kent sebagai gedung ilmu,” katanya.

scroll to top