200 Helai Jalur Gemilang Diedar

TERIMA ...Tun Juhar menerima Jalur Gemilang daripada Nadzerah (kiri).

PAPAR:   Dua ratus helai Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah diagih Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, pada Selasa.

NADZERAH

Gimik pengagihan Jalur Gemilang tersebut disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dalam Program Penyampaian Bakul Makanan dan Penyerahan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini.

Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah berkata agihan Jalur Gemilang serta bendera Sabah itu bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat walaupun masih dilanda pandemik Covid-19.

“Secara keseluruhannya, kita telah mengedarkan sebanyak 200 helai Jalur Gemilang dan bendera Sabah khusus untuk program ini.

“Persiapan yang bermula sejak semalam, membolehkan kita membuat agihan kepada beberapa lokasi termasuk Istana Negeri Sabah, Balai Polis Bongawan selain Pondok Sekatan Jalan Raya (SJR) 3 dan SJR 4.

“Kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Juhar dalam program ini sememangnya amat kami hargai dan kami menjunjung kasih,” ujarnya ketika ditemui pada program tersebut di Balai Polis Bongawan.

SERAH …Tun Juhar menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua SJR 4 Bongawan.

Program sehari itu merupakan kolaborasi pintar di antara JaPen Sabah dengan Polis Kontinjen Sabah dan Istana Negeri Sabah.

Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dan Timbalannya, Datuk Mazli Mazlan.

Mengenai perkembangan IOW Merdeka, Nadzerah memaklumkan, setakat hari ini JaPen Sabah telah mencapai 45 peratus daripada sasaran ditetapkan.

GIMIK….Tun Juhar menyampaikan Jalur Gemilang kepada Hazani (kiri) untuk dikibarkan di semua balai polis.

“Tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan para petugas kita di lapangan, kita terus melaksanakan IOW Merdeka menerusi hebahan untuk mengajak masyarakat supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang,” jelas beliau.

Tambahnya, bulan kebangsaan yang disambut bermula 1 Ogos hingga 16 September setiap tahun di seluruh Malaysia menjadi wadah  penzahiran rasa cinta rakyat terhadap tanah air.-Penerangan.

scroll to top