23 Rumah Musnah Terbakar Di Kampung Tanjung Aru Baru

TERBAKAR LAGI ... Kebakaran berlaku pada awal pagi hari ini meranapkan kira-kira 23 buah rumah di perkampungan atas air tersebut.

Oleh Hassim Haji Othman

KOTA KINABALU: Kampung Tanjung Aru Baru (Cable) terbakar lagi selang beberapa minggu selepas kira-kira 10 buah rumah di perkampung yang sama terbakar pada bulan lalu.

Kebakaran berlaku pada awal pagi hari ini meranapkan kira-kira 23 buah rumah di perkampungan atas air tersebut.

PADAM SISA …Anggota Bomba memastikan api benar-benar padam untuk keselamatan.

Ketua Zon I Kota Kinabalu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, kebakaran terbabit dipercayai berlaku kira-kira jam 4.20 pagi bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke rumah lain di sekitarnya.

Katanya, api cepat merebak dan memusnahkan rumah yang lain berikutan kedudukan rumah yang rapat di antara satu sama lain.

“Sebanyak lima kenderaan turut musnah terbakar dalam kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, tiada mangsa yang dilaporkan cedera dan semua mangsa yang terlibat sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.32 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak sehingga memusnahkan beberapa rumah yang berstruktur tidak kekal di perkampungan atas atas air berkenaan.

SELAMATKAN APA SAJA … Mangsa kebakaran menyelamatkan apa saja harta benda yang mampu dicapai.

“Pasukan bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan bomba turut mengalami kesukaran ke lokasi kejadian berikutan keadaan jalan yang sempit.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 5.49 pagi dan operasi memadamkan api tamat sepenuhnya pada jam 8.03 pagi.

Katanya, api merebak terlalu cepat kerana struktur rumah yang dibina daripada kayu dan berdekatan satu dengan lain.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran,” katanya.

Operasi berkenaan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Untuk rekod kawasan perkampungan Tanjung Aru Baru (Cable) berkenaan pernah mengalami kebakaran besar sekitar tahun 2011 lalu di mana sebanyak 129 rumah musnah dan mengakibatkan lebih seribu penduduk hilang tempat tinggal.

MUSNAH … Bebarapa kenderaan turut musnah terbakar dalam kejadian itu.

Dan pada tahun ini saja, kejadian kebakaran pada pagi ini adalah merupakan kejadian kebakaran ketiga di penempatan atas air di Kampung Tanjung Aru ini.

Kejadian pertama berlaku pada 25 Mei lepas, membabitkan sebanyak 25 rumah di Kampung Tanjung Aru Lama/Baru dan kejadian kedua pada 6 Julai lepas membabitkan 10 rumah musnah terbakar di sini.

scroll to top