KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan peningkatan kes berbanding kelmarin iaitu sebanyak 242 kes, tiga kematian dan satu kluster baharu, hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua kes kematian direkodkan di Kota Belud dan satu kes lagi di Tawau.
“Daripada 242 kes jangkitan baharu itu, 115 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 94 kes adalah daripada saringan kluster, 14 kes adalah daripada saringan bergejala, lapan kes daripada saringan bersasar dan 11 kes adalah daripada lain-lain kes,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurutnya, dalam keseluruhan kes baharu itu, Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi sebanyak 99 kes.
“Daripada jumlah itu, sebanyak kes adalah daripada Saringan Kluster dan kes lagi adalah daripada lain-lain saringan, 51 kes berpunca daripada Kluster Tembok Kota Kinabalu, dan masing-masing lima kes daripada Kluster Ocean Blue, Kluster Coral dan Kluster Tanjung Aru Baru.
“Kluster Tembok Kota Kinabalu adalah kluster daripada Penjara Kepayan, manakala Kluster Ocean Blue dan Kluster Coral adalah kluster daripada pekerja-pekerja pelantar minyak (offshore),” jelasnya.

Masidi berkata, seramai 187 pesakit COVID-19 discaj dari hospital/sembuh menjadikan jumlah kumulatif 67,256 orang. Seramai 1,508 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 444 orang di hospital, 948 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 116 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)/Penjara.
Tambahnya, bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 70 orang dan 17 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Sementara itu, Sabah turut mencatatkan satu kluster baharu iaitu Kluster Limbawang, Beaufort melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti ekoran majlis pengebumian di Kg Gelilia Padas Damit pada 20 Jun 2021.
“Kluster ini dikesan apabila kes indeks, lelaki, 35, dari Kg Kelabu disahkan positif ujian RTK-Ag di Klinik Kesihatan Padas Damit pada 21 Jun 2021, setelah mengalami gejala demam sejak 19 Jun 2021.
“Saringan kontak rapat masing-masing mendapati empat kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan tetamu majlis terbabit. Terdapat bukti penularan menerusi kontak sosial yang melibatkan ahli keluarga di empat lokaliti berbeza sekitar mukim Limbawang.
“Daripada 160 kontak yang disaring, 21 individu dikesan positif termasuk dua kes baharu pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 30 kes,” katanya.
Manakala satu lokaliti iaitu Taman Public, Kota Kinabalu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 2 Julai hingga 15 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, sehingga kini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 16 ujian saringan dan sembilan daripadanya direkodkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti 56.25%.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan,” katanya.