27 kilogram ganja dirampas, empat individu ditahan

TAWAU: Polis menahan empat individu dan merampas 27 kilogram dadah jenis ganja dalam serbuan di Batu 10 Jalan Apas, di sini, Isnin lalu.

Dalam operasi jam 5 petang itu, empat yang ditahan membabitkan dua lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, dua suspek lelaki dikesan sedang memunggah tiga kotak dari kereta ke sebuah bangunan berhampiran.

“Sebaik ditahan, pemeriksaan terhadap kotak berkenaan menemui sebanyak 29 bungkusan yang berisi keseluruhan 27,315.60 gram dadah jenis ganja.

“Siasatan awal turut mendapati tiga daripada suspek adalah adik beradik dan semua mereka adalah warga tempatan,” katanya dalam sidang media, di sini.

Jasmin berkata, semua ganja yang dirampas dianggarkan bernilai RM90,000 dan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Katanya, polis turut percaya semua ganja berkenaan cuba dipasarkan di sekitar kawasan Pantai Timur Sabah dan sempadan negara.

“Rampasan dadah ini adalah yang terbesar dilakukan oleh IPD Tawau bagi tahun ini. Polis berjaya membanteras satu lagi sindiket pengedaran dadah di daerah ini.

“Siasatan awal juga mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mereka negatif,” katanya.

Menurutnya, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

scroll to top