325 Lagi Pemandu Pengangkutan Awam Terima Bantuan One Off RM500 Esok

DATO' CHIN KIM HIUNG

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Seramai 325 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan menerima bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 yang mula disalurkan Selasa ini (7 September 2021).

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Dato’ Chin Kim Hiung berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan sejumlah RM162,000 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 2.

Beliau berkata, bayaran bantuan PEMERKASA Plus Fasa 2 ini merupakan lanjutan daripada pembayaran PEMERKASA Plus Fasa 1 kepada 6,496 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan yang telah disalurkan bermula 27 Julai 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 juta.

“Bagi pembayaran PEMERKASA Plus Fasa 2, seramai 198 orang adalah pemandu teksi dan kereta sewa (peruntukan RM99,000), 79 pemandu e-Hailing (peruntukan RM39,500), 40 pemandu bas sekolah (peruntukan RM20,000), serta lapan orang pemandu bas pelancong (peruntukan RM4,000).

“Selepas pembayaran PEMERKASA Plus Fasa 2 ini selesai, bermakna jumlah keseluruhan yang diperuntukan oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan seramai 6,821 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan adalah sebanyak RM3.4 juta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Chin berkata, jumlah peruntukan yang besar ini menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara ini.

Beliau berharap agar bantuan daripada kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pemandu yang terlibat sepanjang tempoh pandemik ini.

“Suka juga diingatkan agar semua pemandu pengangkutan awam di Sabah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kita sama-sama dapat mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini,” katanya.

scroll to top