KOTA KINABALU : Sebanyak 35 agensi kerajaan negeri menerima Anugerah Penarafan Lima Bintang Sistem Maklumat Sumber Manusia (SM2) pada majlis penganugerahan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai berkata kesemua agensi berjaya menunjukkan kerja berprestasi tinggi dan kerjasama berpasukan dan mencapai markah keseluruhan sebanyak 95 peratus ke atas.
“Semua agensi dalam setiap kluster ini (lapan kluster) dinilai mengikut kriteria umum yang ditambah baik setiap tahun.
“Pada tahun ini, semua agensi dinilai mengikut empat kriteria berbanding tiga kriteria pada tahun sebelumnya iaitu data perjawatan, data maklumat penjawat, data prestasi, dan ketepatan data yang merupakan kriteria baharu yang diperkenalkan pada tahun ini,” katanya.

CEMERLANG: Norsiah merakam gambar bersama plak dan sijil Anugerah Pengurus Sumber Manusia Cemerlang (Pengurusan SM2) Tahun 2022.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penganugerahan Penarafan Bintang Sistem Maklumat Sumber Manusia (SM2) Tahun 2022, di sini.
Meskipun begitu, Rosmadi berkata, pencapaian tahun ini menurun daripada 71 agensi penerima pada tahun lepas, kepada 35 agensi sahaja ekoran pengenalan syarat dan kriteria penilaian pengurusan SM2 yang telah diperbaharui dan ditambah baik.
Sehubungan dengan itu, semua Pengurus Sumber Manusia (PSM) diminta untuk memainkan peranan memastikan pengurusan SM2 terutama kualiti dan integriti data yang direkodkan di setiap agensi sentiasa pada tahap cemerlang.
Pada majlis itu juga turut berlangsung penyampaian Anugerah Pengurus Sumber Manusia Cemerlang yang julung kali diperkenalkan pada tahun ini.
Norisah Saiman, kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah menjadi penerima sulung anugerah berkenaan atas perkhidmatan cemerlang dalam pengendalian dan pengurusan SM2 serta memastikan pengemaskinian maklumat pada tahap tertinggi termasuklah ketepatan data dalam sistem berkenaan.
Selain itu, bagi meningkatkan kualiti semua PSM atau Chief Human Resource Officer (CHr.O), Rosmadi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) akan melaksanakan pentauliahan profesional kepada CHr.O di negeri ini.
Katanya, ia bagi memastikan kualiti CHr.O diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam aspek amalan, kaedah dan strategi pengurusan sumber manusia.
Disamping itu, program-program pembangunan dan inisiatif baharu akan diperkenalkan seperti watikah pelantikan PSM secara rasmi, serta pelaksanaan serta penglibatan pelbagai program berimpak tinggi seperti Program Pendedahan Antarabangsa, Program Lonjakan Lonjakan Kepimpinan Strategik dan Pengukuhan Jati Diri, Program Pengukuhan Integriti, Program Penandaarasan Kualiti, dan Program Pendedahan Persidangan dalam dan Luar negara.
Terdahulu, majlis penganugerahan ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan Awam, JPAN sejak tahun 2019 sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan dan menghargai usaha, komitmen dan iltizam tidak berbelah bahagi warga kerja yang diketuai oleh CHr.O.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Josie Lai, Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Ramlee Kariah, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) merangkap Ketua Urus Setia Majlis Junaidah Abdul Hamid, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Barisan Pegawai Daerah, serta Pengarah-Pengarah Bahagian JPAN.