3,908 Pemandu E-Hailing Terima Bantuan RM500 Isnin Depan

DATO' CHIN KIM HIUNG

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Seramai 3,908 orang pemandu e-hailing Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan menerima bantuan one-off RM500 yang mula disalurkan Isnin depan (16 Ogos 2021).

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Dato’ Chin Kim Hiung berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan sejumlah RM1.95 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 1.

Beliau berkata, bayaran bantuan PEMERKASA Plus Fasa 1 ini merupakan lanjutan daripada pembayaran kepada 2,588 orang pemandu teksi dan kereta sewa, bas sekolah serta bas pelancong yang disalurkan bermula 27 Julai 2021 melibatkan peruntukan RM1.29 juta.

“Sehingga rayuan ditutup pada 9 Ogos 2021, LPKP Sabah menerima 4,627 senarai nama pemandu e-hailing daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk saringan penerima bantuan PEMERKASA Plus iaitu seramai 4,461 orang pemandu Grab, 54 orang pemandu Maxim dan 112 orang pemandu MyCar.

“Daripada jumlah 4,627 senarai pemandu e-hailing yang diterima, hanya 3,908 orang yang layak menerima bantuan selepas memenuhi kritera yang ditetapkan iaitu pemandu perlu mencapai sasaran pendapatan sekurang-kurangya RM500 sebulan dalam mana-mana tempoh dari Januari hingga Mei 2021 dan pemandu perlu mempunyai lesen EVP (e-vehicle permit) dan lesen PSV (public service vehicle) yang masih aktif pada atau selepas 31 Mac 2021,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Chin berkata, semakan senarai pemandu e-hailing yang layak menerima bantuan PEMERKASA Plus boleh dibuat melalui pautan http://www.lpkpsabah.gov.my/pemerkasa.

“Selaku pengerusi LPKP Sabah, sekali lagi saya ingin menekankan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib pemandu pengangkutan awam di Sabah.

“Jumlah keseluruhan sebanyak RM3.24 juta yang diperuntukkan menerusi PEMERKASA Plus kepada golongan ini menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan mereka,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap bantuan daripada kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pemandu yang terlibat sepanjang tempoh pandemik ini.

“Saya juga ingin mengingatkan agar semua pemandu pengangkutan awam di Sabah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kita sama-sama dapat mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini,” katanya.

scroll to top