KOTA KINABALU: Seramai 57 pelajar Kolej Teknologi Yayasan Sabah (YSCT) menerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia untuk membantu proses pembelajaran mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Teknologi Yayasan Sabah (YSCT), Haji Samin Haji Ongki menasihatkan pelajar memanfaatkan peranti siswa yang diterima untuk mencapai kecemerlangan pendidikan, kecemerlangan dalam hidup dan kehidupan.
“Saya yakin pelajar-pelajar Sabah mampu mencipta kecemerlangan dengan pelajar lain di seluruh dunia,” katanya.
Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia di bawah Belanjawan 2022 diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Program itu bertujuan untuk membantu proses pembelajaran mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga B40 melalui pemberian sebuah peranti yang terdiri daripada Galaxy Tab A8 bersama-sama set papan kekunci dan juga stylus kepada pelajar
Inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan yang cakna dengan keperluan pembelajaran terutamanya bagi golongan B40 bagi membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia serta merapatkan jurang digital antara semua kelompok keluarga Malaysia.