TUARAN: Sebanyak 60,337 premis telah dilengkapi infrastruktur jalur lebar talian tetap dan 1,850 stesen pemancar dinaik taraf di negeri ini setakat 30 Jun lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup.

ARTHUR
Katanya usaha berkenaan termasuklah pembinaan 51 menara komunikasi 4G baharu, iaitu sebahagian daripada Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah yang melibatkan peruntukan RM3.5 bilion bertujuan merapatkan jurang digital penduduk bandar dengan luar bandar.
“Usaha ini akan dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi digital serta memudahkan urusan dalam talian seperti pembelajaran dan perdagangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek JENDELA yang melibatkan pembinaan sebuah menara komunikasi di Kampung Rungus Nahaba di sini hari ini.
Arthur, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata projek tersebut memberi manfaat kepada kira-kira 250 penduduk termasuk guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Rungus Nahaba.
Katanya, menara telekomunikasi di kampung itu akan membantu melonjakkan taraf hidup dan memudahkan penduduk setempat melaksanakan pelbagai urusan harian yang memerlukan capaian Internet.
Selain itu, sebanyak 781 points of presence (PoP) akan disediakan berhampiran kawasan sekolah tersebut bagi membolehkan premis kerajaan, kawasan perumahan dan bangunan komersial berdekatan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar.
Arthur berkata PoP juga akan disediakan di kawasan perindustrian di Sabah termasuk kawasan perindustrian Kastam Baru, kawasan perindustrian Keningau dan kawasan perindustrian Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sandakan.
Kawasan lain ialah Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha, Kawasan Perindustrian Kiamsam, kawasan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) IP Inanam dan kawasan POIC Lahad Datu Fasa 1 dan 2.
Jelasnya, penyediaan PoP dilaksanakan di bawah peruntukan kerajaan dan kini dalam proses tender secara berperingkat oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Inisiatif MyDigital adalah penanda aras yang kritikal untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2021-2025, seiring dengan usaha menuju Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” katanya.-Bernama.