65 PTI Ditahan Dalam Operasi Bersepadu JIM Sabah di Ranau

PTI: Jonathan berkata sesuatu kepada PTI yang ditahan dalam operasi itu.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

RANAU: Seramai 65 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam Operasi Patuh Bersepadu di daerah Ranau semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah malam pada 16 hingga 17 Julai, JIM Sabah menyerbu 10 lokasi.

“Seramai 67 Pegawai Imigresen, 27 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Romel Macoco Rodolfo dari Unit Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Ranau terlibat dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Antara lokasi serbuan ialah rumah kongsi tapak pembinaan di jalan Mesilau Golf Course Kundasang; kuarters pekerja MRSM, Tanah Merah, Jalan Kompleks Ranau; rumah tidak bernombor Kg. Babukan; sekitar jalan Kg Mesilou, Kundasang; rumah kongsi, jalan Desa Cattle, Mesilou; rumah kongsi pekerja, Loji Tapak Pembinaan Tangki Air, Kundasang; rumah sewa tidak bernombor, Kg Sinisan; rumah tidak bernombor pekan Kundasang, dan di Batu 7, Jalan Pinousuk, Ranau.

“Dalam operasi itu, seramai 173 orang diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 65 orang ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal lebih masa di negeri ini,” katanya.

Antara yang ditahan ialah 28 orang lelaki dewasa, 11 kanak-kanak lelaki, 15 perempuan dewasa dan 11 kanak-kanak perempuan.

Jonathan berkata, kesemua individu terbabit ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, beliau berkata, objektif utama operasi ini dilaksanakan di seluruh Sabah adalah untuk membanteras PTI dan mana-mana orang yang melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta Passport 1966, Akta Anti Pemerdagangan Orang (Pindaan 2010) dan Anti Penyeludupan migran 2007.

“Tumpuan operasi bersepadu turut menjurus kepada majikan-majikan yang disyaki mengambil pekerja PTI, melindungi PTI dan sindiket yang membawa masuk PTI ke negara ini. Tindakan akan diambil selaras dengan undang-undang tanpa kompromi,” katanya.

Jelasnya, proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 terhadap setiap tahanan bagi suatu tempoh yang ditetapkan turut dilakukan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan COVID-19 sebelum dihantar ke depot Imigresen seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, pada tahun ini sebanyak 601 operasi telah dijalankan oleh JIM Sabah dimana daripada jumlah itu sebanyak 1,061 PTI telah ditangkap, manakala sebanyak 34 orang majikan telah didakwa dan 1,739 orang tahanan warga asing telah diusir ke negara asal.

JIM Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya sejumlah PTI yang tidak mematuhi undang-undang.

“Saya menyeru supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba melindungi PTI di negeri ini. Justeru, saya memohon kerjasama dari rakyat Sabah agar melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PTI di kawasan mereka,” katanya.

scroll to top