Ahli keluarga temani Pele

LEGENDA BOLA SEPAK: Seorang peminat memaparkan gambar Pele di atas topi menjelang Piala Dunia 2022 Qatar di Rio de Janeiro, Brazil. — Gambar AFP

SAO PAULO: Anggota keluarga menghabiskan perayaan Krismas pada Ahad bersama Pele di sebuah hospital di Sao Paulo di mana bintang legenda bola sepak itu bertarung penyakit barah yang semakin teruk selain masalah buah pinggang dan jantung, menurut status anak-anaknya di media sosial.

Peminat Pele, yang dianggap oleh ramai pihak sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, menyuarakan harapan dia akan pulih sejak dimasukkan ke hospital pada lewat bulan November.

Tidak lama selepas tengah malam Hari Krismas, anak perempuan Pele, Kely Nascimento memuat naik gambar isteri Pele, Marcia Aoki, dan anggota keluarga lain berkumpul di Hospital Albert Einstein di mana dia menerima rawatan. Pele tidak kelihatan dalam gambar itu.

“Selamat Hari Krismas. Penghargaan, kasih sayang, pertemuan dan keluarga. Makna Krismas. Kami berterima kasih kepada anda semua di atas kasih sayang dan cahaya yang anda berikan kepada kami,” tulis Kely.

Pada lewat hari yang sama, anak lelaki Pele, Joshua Arantes, menyertai keluarganya di hospital, menurut satu lagi status Kely.

Pada Rabu lepas, pihak hospital mengumumkan barah usua Pele menunjukkan “perkembangan” dan dia memerlukan “rawatan lebih rapi untuk merawat masalah kegagalan buah pinggang dan jantungnya.”

Awal hari yang sama itu, anak perempuan Pele mengumumkan dia tidak akan pulang untuk Krismas.

Edinho, anak lelaki Pele – yang baru-baru ini dilantik sebagai jurulatih  kelab Serie B di Brazil, Londrina, yang berpangkalan di Parana di utara Brazil – tiba sehari sebelum Krismas di pusat perubatan itu, di mana dia menyertai adik beradiknya Kely dan Flavia Arantes Do Nascimento.

Dia memuat naik gambar ke laman Instagram sambil memegang tangan ayahnya dengan kapsyen: “Ayah… kekuatan saya adalah kamu.”

Edinho, bekas penjaga gol, tiba sehari selepas menjelaskan ketiadaannya di sisi ayahnya kepada media tempatan.

“Saya mahu hadir tetapi saya komited dengan misi saya di sini. Saya bukan doktor, saya tidak dapat banyak membantu,” katanya dalam satu temu bual pada Jumaat lalu bersama akhbar Estadao.

Pele, lahir dengan nama Edson Arantes do Nascimento, menerima beberapa pesanan sokongan sejak dimasukkan ke hospital, termasuk dari penyerang antarabangsa Perancis, Kylian Mbappe.

Pele mencuri perhatian di Piala Dunia 1958 ketika berusia 17 tahun dan menjaringkan hatrik di peringkat separuh akhir dan dua gol di final, memulakan kariernya sendiri dan melancarkan dinasti bola sepak Brazil.

Dia adalah pemain tunggal dalam sejarah yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali – pada 1958, 1962 dan 1970. — AFP

scroll to top