Akibat Cemburu, Lelaki Ugut Isteri Guna Parang

Oleh MARIAYATI MURSIDI

BEAUFORT: Akibat cemburu buta, seorang suami bertindak mengugut isterinya menggunakan parang dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Siaun, Menumbok, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, suspek berumur 60 tahun turut dikatakan menumbuk pinggang isterinya kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Katanya, mangsa berumur 48 tahun itu kemudiannya terpaksa dihantar ke Hospital Beaufort menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, mangsa mengadu sakit di bahagian pinggang kiri dan tidak mampu berjalan semasa diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

“Siasatan awal mendapati suspek mengugut isterinya menggunakan parang dengan mengacu ke leher mangsa.

“Suspek turut mengugut mahu membunuh isterinya sebelum bertindak menumbuk di bahagian pinggang kiri mangsa,” katanya.

Yusoff Zaki berkata, punca kejadian adalah disebabkan suspek cemburu kerana mengesyaki mangsa ada hubungan dengan lelaki lain.

Katanya, mangsa turut mendakwa, kejadian keganasan terhadapnya bukan pertama kali berlaku.

“Keterangan lanjut akan diambil selepas mangsa dibenarkan keluar dari hospital. Siasatan menjurus kepada kes ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan membabitkan keganasan rumah tangga,” katanya.

scroll to top