Oleh MARIAYATI MURSIDI
KOTA KINABALU: Aktiviti kunjung-mengunjung dalam kalangan jiran tetangga semasa sambutan Hari Raya Aidiladha mencetuskan kluster baharu COVID-19 di Sabah, hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Tembidong Bidong – Telupid, Beluran adalah penularan jangkitan dalam komuniti yang disyaki berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung kalangan jiran tetangga.
“Kes indeks adalah wanita, 55, disahkan positif COVID-19 melalui PCR Genexpert di Hospital Duchess of Kent, Sandakan pada 19 Julai 2021, selepas dirujuk oleh Klinik Kesihatan Nangoh kerana bergejala batuk dan sesak nafas sejak 17 Julai 2021.
“Turut dikesan positif ialah suami kes indeks menerusi ujian RTK-Ag pada hari yang sama, diikuti 18 kes hasil saringan (PCR) kontak rapat pada 21 Julai 2021.
“Setakat hari ini, daripada 292 individu yang disaring, kluster ini merekodkan 88 kes positif COVID-19 merangkumi 78 kes termasuk 31 kes baharu di Telupid dan 10 kes termasuk empat kes baharu di Beluran. Siasatan dan kawalan masih lagi diteruskan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masidi berkata, satu lagi kluster baharu ialah Kluster Jalan Patikang Ulu, Keningau dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.
“Kes indeks adalah lelaki, 19, kerani di sebuah syarikat bengkel dan servis jentera berat. Pada 29 Julai 2021, kes indeks menjalani saringan bergejala di klinik swasta didapati positif COVID-19 dengan keputusan RTK-Antigen.
“Pada hari yang sama, klinik yang sama menerima satu lagi RTK-Antigen positif yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Saringan kontak rapat di lapangan yang dilakukan oleh pasukan Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau serta klinik swasta kemudiannya mengesan 12 RTK-Antigen positif pada 30 Julai 2021,” katanya.
Setakat hari ini katanya, kluster ini menokok tiga kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 17 kes melibatkan Mukim Patikang dan Lingkudau di daerah Keningau.
Jelasnya, penambahan bilangan kes disyaki berpunca daripada pergaulan di antara penghuni rumah sewa yang padat di Jalan Patikang Ulu.
Dalam pada itu, Sabah merekodkan sebanyak 1,002 kes positif baharu serta 578 pesakit sembuh dan discaj daripada hospital.
Katanya, tujuh kes kematian direkodkan iaitu dua kes di Penampang manakala masing-masing satu kes di Beluran, Papar, Semporna, Kinabatangan dan Kota Kinabalu.