Aktiviti sempena Hari Bahasa Ibunda Sedunia

PENUTUPAN…Majlis Penutupan Hari Bahasa Ibunda Sedunia Peringkat IPG Kampus Kent, Tuaran.

TUARAN: Jabatan Bahasa Kadazandusun, IPG Kampus Kent menganjurkan aktiviti sempena Hari Bahasa Ibunda Sedunia melibatkan pelajar PPISMP semester 1, PISMP semester 1,4,6 dan 8 yang mengambil jurusan Bahasa Kadazandusun pada 4 hingga 21 Februari lepas.

Aktiviti Sempena Hari Bahasa Ibunda Sedunia ini bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Kadazandusun di kalangan pelajar IPG Kampus Kent serta mencungkil bakat dan kreativiti Manangon dan Momohiis dalam kalangan guru pelatih khususnya yang mengambil Major Bahasa Kadazandusun sempena Hari Bahasa Ibunda Sedunia, kata Ketua Jabatan Bahasa IPGK Kent,Puan Linah Bagu.

Walaupun aktiviti ini dijalankan hanya di atas talian (online) namun aktiviti ini mendapat sambutan meriah daripada pelajar-pelajar yang mengambil jurusan Bahasa Kadazandusun dan secara langsung dapat menyerlahkan bakat mereka dalam Manangon dan Momohiis.

Sepanjang aktiviti Sempena Hari Bahasa Ibunda Sedunia ini dianjurkan, terdapat dua aktiviti yang dijalankan iaitu pertandingan Manangon dan juga Momohiis.

Pertandingan ini disambut baik oleh para guru pelatih jurusan Bahasa Kadazandusun IPG Kampus Kent dimana setiap unit menghantar wakil untuk menyertai kedua-dua pertandingan yang dijalankan.

Terdapat 19 orang guru pelatih yang masing-masing mengambil bahagian dalam kedua-dua pertandingan yang dijalankan. Walaupun hanya dijalankan atas talian, dapat dilihat bakat dan kreativiti guru-guru pelatih dalam menjadikan video persembahan mereka menjadi lebih menarik.

Melalui aktiviti Sempena Hari Bahasa Ibunda Sedunia ini, guru-guru pelatih dapat menyerlahkan bakat terpendam mereka lebih-lebih lagi dalam mengekalkan warisan budaya.

Penutupan Hari Bahasa Ibunda Sedunia dirasmikan oleh Dr. Hajah Rosmawati Binti Hamzah, Pengarah IPGK Kent pada 21 Februari 2022 secara atas talian iaitu menggunakan pelantar Google Meet.

Beliau memuji dan mengucapkan jutaan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Bahasa Kadazandusun kerana telah berjaya menganjurkan aktiviti Sempena Hari Bahasa Ibunda Sedunia dengan jayanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Puan Linah berasa sebak dan bangga melihat pelajar-pelajar dan pensyarah di bawah Jabatan Bahasa Kadazandusun yang berusaha bersungguh-sungguh dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau turut memuji semangat-semangat yang ditunjukkan oleh semua peserta kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti Sempena Hari Bahasa Sedunia.

Kehadiran tetamu terhormat yang memberikan sokongan seperti Datin Dr Rosinah Edinin (Timbalan Pengarah IPG Kampus Kent Tuaran), Amidy Malagob (Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Kent Tuaran), Victor Baga selaku penyelaras program, Adreon Daniel selaku pengerusi pelaksana.

Turut hadir Puan Rita Lasimbang dari Kadazandusun Language Foundation (KLF), Dr Minah Sintian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pensyarah-pensyarah serta para pelajar daripada jabatan lain dan guru-guru daripada sekolah rendah turut menambahkan lagi seri majlis penutupan ini.

Kehadiran Duta Bahasa Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Lenzely Salimin memberikan perkongsian mengenai Bahasa Kadazandusun turut memeriahkan majlis penutupan ini dimana para hadirin yang hadir pada majlis penutupan ini mendapat pengetahuan baru mengenai Bahasa Kadazandusun ini.

Program itu mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dan membanggakan walaupun program ini julung kali diadakan di Institusi Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran.

scroll to top