Angkatan Tugas Bersama 2 rampas rokok seludup bernilai RM420,000

DIRAMPAS ...Anggota ATB2 bersama rampasan rokok yang cuba diseludup.

TAWAU: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) berjaya mematahkan satu sindiket penyeludupan rokok membabitkan nilai RM420,000 dalam operasi Op Benteng Bersama (OBB) di Lorong Hj Salleh, Kampung Sri Aman, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 1.30 pagi itu, rampasan berjaya dilakukan hasil pengesanan dua lelaki yang sedang giat memunggah kotak ke dalam sebuah stor di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan ATB2 berkata, sebaik dikesan, pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) terus segera melakukan pemeriksaan di lokasi.

Katanya, kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa terus bertindak melarikan diri meninggalkan lokasi.

“Hasil siasatan awal, ATB2 percaya stor berkenaan digunakan bagi tujuan transit penyimpanan rokok seludup dari Indonesia ke pasaran Tawau.

“Keseluruhan rampasan bagi 3,500 karton rokok seludup berjenama Astro Menthol King itu dianggarkan bernilai RM420,000,” katanya.

Menurutnya, semua rokok berkenaan terus diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau IPD Tawau untuk siasatan serta tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” tegasnya.

Sementara itu, Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pegawai dan anggota yang bertugas di POWB ATB 2 atas kejayaan operasi kali ini.

Katanya, kejayaan ini membuktikan ATB2 sentiasa komited terhadap menjaga keselamatan, kemakmuran dan kedaulatan Perairan Pantai Timur Sabah.

“Kerjasama erat antara perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis sentiasa berada ditahap yang terbaik melalui pemantauan berterusan serta perkongsian maklumat secara efektif.

“ATB2 juga turut melaksanakan aturgerak operasi dengan pelbagai kaedah seperti menggabungkan semua aset serta elemen pengawasan secara terkoordinasi dalam menjamin keselamatan negara,” katanya.

Menurutnya, ATB akan sentiasa mempertingkatkan jaringan kerjasama secara berterusan dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dari terus berlaku.

Katanya, ATB2 tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di Pantai Timur Sabah.

scroll to top