APMM Bantu Pindah Pesakit Dari Pulau Sebatik Ke Tawau

BANTU ... APMM membantu mindahkan lebih 108 orang penduduk positif Covid-19 membabitkan beberapa lokaliti di Pulau Sebatik ke pusat kuarantin terletak pusat bandar Tawau. -Foto Ihsan APMM

TAWAU: Bukan sahaja bertugas menjaga keselamatan perairan negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut berperanan membantu memindahkan pesakit COVID-19 dari Pulau Sebatik dekat sini, ke pusat kuarantin di tanah besar di Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim V Siva Kumar berkata sejak 31 Julai lepas hingga hari ini, agensi itu telah enam kali memindahkan penduduk dari pulau itu melibatkan seramai 108 individu bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengurus pesakit COVID-19 dalam kalangan komuniti maritim.

“Proses ini melibatkan penduduk Pulau Sebatik di lokaliti termasuk Kampung Bergosong, Kampung Sungai Tongkang, Kampung Mentadak, Kampung Lahat-Lahat serta Kampung Wallace Bay dan sebuah bot disediakan mengurus pemindahan pesakit baharu COVID-19 ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Siva Kumar, anggota APMM yang bertugas dalam proses pemindahan pesakit dilengkapkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE), selain bot digunakan juga sentiasa disanitasi bagi mengelak risiko jangkitan dalam tugasan.

“Bantuan pengangkutan ini disediakan bagi melancarkan proses pengasingan pesakit positif COVID- 19 yang akan menjalani kuarantin dan rawatan susulan di pusat kuarantin ditetapkan,” katanya.-Bernama.

scroll to top