KENINGAU: Armada Bahagian Keningau menyambut baik kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Radzi Jidin, mengenai pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat untuk PDP bersemuka.
AJK Armada Bahagian Keningau, Ar Rafi Yasin yang juga Ketua Biro Pendidikan Biro Keningau turut sama menyokong tindakan KPM agar semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM dibuka secara berperingkat bergantung kepada keadaan keselamatan dan situasi kesihatan semasa dengan merujuk kepada KKM.
“Hal ini kerana pembelajaran secara bersemuka adalah lebih diutamakan kerana pendidik yang mengajar adalah terlatih dengan pengalaman mengajar yang profesional dan saya berpendapat bahawa keperluan menutup sekolah adalah tidak perlu jika berada dalam keadaan risiko yang sangat rendah,” katanya.
Tambahan lagi, program imunisasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sekolah harus diberi keutamaan kerana vaksin bertindak sebagai antibodi untuk menjauhkan dan merendahkan kadar jangkitan wabak Covid-19 dalam komuniti sekolah.
KPM membuat ketetapan pada 1 Sept 2021 sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran bersemuka (PDP).
“Sudilah kiranya saya menjalankan tanggungjawab mengingatkan agar semua warga sekolah untuk mengamalkan norma baru dengan pemakaian pelitup separuh muka, kerap mencuci tangan dan penjarakkan sosial menjadi sebahagian daripada amalan hidup termasuk di Sekolah demi kemaslahatan bersama.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar pendemik Covid-19 segera berakhir dan kembali normal agar sesi pembelajaran dapat berjalan dengan baik untuk mencapai tujuan pembelajaran dan pendidikan sebenar,” katanya.