ATB 2 patahkan cubaan seludup minyak diesel

TANGKAPAN: Lima awak-awak kapal kargo terbabit diserahkan kepada IPD Semporna untuk tindakan lanjut.

SEMPORNA: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak diesel di perairan Pulau Bohayen, di sini kelmarin.

Komander ATB 2 Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, sebuah kapal kargo yang berada dalam keadaan mencurigakan telah dikesan oleh radar Coastal Surveillance System (CSS) berhampiran Pulau Danawan yang bergerak dari arah Semporna menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia/Filipina di Barat Daya Pulau Bohayen pada 5 Mac 2022, jam 2.10 petang.

“Berdasarkan kepada pengesanan itu, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di Markas ATB 2 menugaskan Viper 04 bersama pasukan QRF yang berada di kawasan OP Pasir Sektor Selatan melaksanakan pintasan pada jam 2.30 petang.

“Viper 04 bersama pasukan QRF berjaya membuat pintasan dan penahanan terhadap kapal kargo terbabit. Viper 04 dan bot Rigid Hull Inflatable Boat (RIB) diarahkan untuk mengiringi kapal kargo berkenaan ke Jeti Azumi untuk pemeriksaan terperinci,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo berkenaan terdiri lima orang awak-awak lelaki, warganegara Malaysia berumur antara 31 hingga 54 tahun, serta memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapal kargo terbabit membawa minyak diesel berkapasiti 70,000 liter yang dianggarkan bernilai RM150,500. Hasil keseluruhan nilai rampasan termasuk kapal kargo dianggarkan bernilai RM650,500,” katanya.

Katanya, kapal kargo terbabit ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesemua awak-awak kapal kargo berkenaan dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 dan seterusnya diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada jam 9.00 malam untuk laporan polis.

Tambahnya, kesemua barang rampasan diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk tindakan lanjut.

Abdul Karim berkata, kerjasama erat di antara perkhidmatan ATM, PDRM, Maritim Malaysia dan KKM berada ditahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan dan kemakmuran perairan pantai timur Sabah.

Beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota-anggota yang bertugas di POWB ATB 2, radar CSS dan pasukan QRF atas kejayaan berkenaan.

Beliau turut mengingatkan warga ATB 2 untuk kekal menjadi angkatan yang kredibiliti dan menerapkan kesiapsiagaan operasi tertinggi melalui ‘Precision Info, Precision Targeting and Precision Manouver’.

“Kejayaan kali ini membuktikan sistem radar milik ATB 2 memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan memastikan POWB mampu mengesan sebarang ‘ancaman’ yang memasuki sempadan perairan pantai timur Sabah dapat diawasi dengan lebih ketat dan sentiasa berada ditahap tertinggi.

“Kejayaan ini sekaligus membuktikan bahawa peranan radar turut menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah operasi,” katanya.

Melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di bawah naungan ATB 2 secara berterusan, beliau menjamin keselamatan perairan pantai timur Sabah berada ditahap terbaik.

Anggota tentera yang beroperasi turut diingatkan untuk sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menangani sebarang cabaran serta ancaman keselamatan dari semasa ke semasa.

scroll to top