KOTA KINABALU: Novelis Azmah Nordin dipilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah yang kedua kerana kuantiti serta kualiti karyanya yang cemerlang.
Azmah menerima anugerah itu kira-kira 31 tahun selepas penerima pertama, Allahyarham Datuk Ismail Abbas atau lebih dikenali Amil Jaya menerimanya pada tahun 1990.
Antara penghargaan dan penghormatan yang bakal diterima oleh Azmah ialah Warkah penghormatan dari Kerajaan Negeri Sabah, wang tunai berjumlah RM30, 000, kemudahan penerbitan karya dan penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing
Anugerah ini adalah pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah kepada tokoh sasterawan yang masih hidup yang telah menyumbangkan ciptaan karya yang bermutu tinggi dan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air, khususnya di negeri Sabah, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Hajiji Haji Noor.
Dalam teks yang dibacakan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif menyatakan bahawa pengiktirafan ini merupakan iltizam dan inisiatif kerajaan dalam memberikan pengiktirafan terhadap pencapaian, serta sumbangan sasterawan negeri Sabah dalam usaha memperkukuh dan memartabatkan karya sastera kebangsaan.
Pemilihan tokoh ini adalah berdasarkan tiga kriteria utama, iaitu pertama; kuantiti serta mutu kualiti karya sastera dan pengiktirafan yang pernah diterima oleh tokoh.
Kedua; nilai pemikiran yang diketengahkan oleh tokoh dalam karya penulisannya serta kesannya terhadap perkembangan sastera kebangsaan, khususnya di negeri Sabah.
Manakala yang ketiga;sumbangan tokoh kepada perkembangan sastera dan masyarakat di negeri Sabah.
Panel Penilai diketuai Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh selaku Ketua Panel Penilai Bersama Professor Madya TS Dr Ramzah Dambul, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Datuk Haji Ismail Bungsu dan Profesor Madya Dr Hajah Asmiaty Amat.
Panel penilai mengadakan siri bengkel bagi meneliti sumbangan serta kekuatan calon dan seterusnya memilih sasterawan yang menepati kriteria anugerah.
Majlis Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Kedua akan diadakan pada tarikh dan masa yang akan dimaklumkan kelak, tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) Covid-19 di negeri Sabah.