KOTA KINABALU: Pengguna yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dinasihatkan untuk membuat semakan bil elektrik mereka melalui Online Customer Services (OCS) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor dalam kenyataan media berkata, sistem OCS itu boleh dicapai melalui https://ocs.sesb.com.my.
“Selain itu, pengguna juga boleh membuat semakan sendiri ke atas bil elektrik mereka dengan membuat bacaan sendiri iaitu dengan mengambil bacaan terkini di meter elektrik premis rumah,” katanya.
Katanya, catatkan bacaan terkini pada meter elektrik dan semak perbandingan melalui bil elektrik terakhir yang diterima.
Contohnya bacaan terkini pada meter adalah 61701 kWh dan ‘bacaan semasa’ pada bil terakhir adalah 61069 kWh iaitu perbezaan sebanyak 632 kWh.
Seterusnya pengguna boleh melayari Kalkulator Tarif Negeri Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan melalui pautan https://www.sesb.com.my/content/tariff-calculator-st dengan memasukkan nilai perbezaan itu untuk mendapatkan jumlah bil sebenar.
Selain itu, kaedah lain adalah dengan memajukan maklumat bacaan berkenaan ke nombor WhatsApp rasmi SESB di talian 019- 852 5427 atau emel ke komersil@sesb.com.my
Pengguna juga boleh berhubung terus SESB Careline di talian 088- 515000 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 019- 852 5427 untuk sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan SESB.