Bahagian UMNO Sabah diminta kemuka lima nama calon PRU15

KOTA KINABALU: Setiap bahagian UMNO di negeri ini diminta mengemukakan lima nama berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung (gambar) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata senarai nama itu perlu dikemukakan segera oleh 25 bahagian UMNO negeri dan individu yang dicadangkan perlu berwibawa, memenuhi kriteria dan boleh diterima rakyat.

Beliau berkata faktor boleh menang harus menjadi keutamaan dalam kriteria akhir pemilihan calon walaupun nama dicadangkan itu tidak memegang jawatan utama di peringkat bahagian parti.

“Dalam menentukan calon pada PRU ke-15 kali ini konsep WALI iaitu winnable atau boleh menang, acceptable atau boleh diterima, dan likeable atau disenangi menjadi garis panduan untuk meletakkan calon terbaik mewakili parti.

“Orang boleh terima tetapi belum tentu orang suka, jadi mesti mempunyai ketiga-tiga elemen (WALI) ini untuk menjadi seorang calon,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Bung Moktar berkata personaliti calon juga menjadi elemen utama dilihat oleh rakyat dan ia juga harus menjadi kriteria utama untuk UMNO dan BN.

Beliau berkata senarai yang dikemukakan akan dinilai jawatankuasa khas berdasarkan kepada maklum balas rakyat peringkat akar umbi hasil daripada pemantauan satu pasukan khas parti di samping laporan dari agensi berkaitan turut dinilai untuk menentukan calon benar-benar layak.-BERNAMA.

scroll to top